Johor Umum Peruntukan RM3.87 Juta Bantuan, Pemerkasaan Orang Asli

JOHOR BAHRU, 23 Ogos – Kerajaan Johor hari ini mengumumkan sembilan inisiatif bantuan dan pemerkasaan Orang Asli dengan peruntukan RM3.87 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip berkata perkara itu diumumkan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi sempena Festival Hari Orang Asli Negeri Johor 2025 yang diadakan di Kluang.

Beliau berkata inisiatif tersebut meliputi bantuan tunai sekali beri (one-off) sebanyak RM200 kepada 5,041 ketua isi rumah (KIR) serta pemberian sekali beri RM300 kepada 46 tok batin.

“‘Selain itu, sumbangan bakul makanan kepada KIR berkenaan turut diberikan serta bantuan komputer riba kepada 73 pelajar universiti dan RM10,000 geran khas bagi menampung kos pengurusan dan program di 60 kampung Orang Asli,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu, Zahari berkata sebanyak 17 dewan dan 32 balai raya serta 44 kemudahan dan peralatan sukan kampung Orang Asli turut dinaik taraf.

“Sebanyak 37 buah masjid dan surau juga akan menerima pemberian sumbangan RM10,000,” katanya.

Menurut Zahari, kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Komuniti Orang Asli Johor bagi menyelaras perkara berkaitan hal ehwal pembangunan komuniti itu. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79