Johari Komited Perjuangkan Kepentingan Peniaga Pasar Datuk Keramat

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani komited memperjuangkan kepentingan para peniaga dengan bertindak sebagai penghubung antara mereka dan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Baru-baru ini, Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi hadir bertemu serta berdialog bersama peniaga Pasar Datuk Keramat di sini.

“Satu dialog dua hala telah diadakan di antara saya dan para peniaga Pasar Datuk Keramat bagi mendengar keluhan serta kerisauan mereka berhubung cadangan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk melaksanakan pembangunan semula pasar ini,” kata Naib Presiden UMNO itu menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Johari, pasar yang telah berusia hampir setengah abad, iaitu hampir 50 tahun, kini berdepan dengan pelbagai masalah infrastruktur.

“…termasuk kejadian litar pintas dan kebakaran yang menimbulkan risiko keselamatan kepada para peniaga serta para pengunjung pasar.

“Sekarang, usaha bagi menyelesaikan masalah pertama adalah dengan mendapatkan jumlah keseluruhan peniaga di sini sebagai sebahagian daripada proses awal perancangan,” katanya.

Manakala dalam perkembangan yang lain, Johari dalam satu perkongsian di laman sosialnya itu, beliau bersama warga Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi meraikan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Tahun 2025.

“Sambutan ini bukan sekadar meraikan sejarah kemerdekaan negara, tetapi menjadi pengingat kepada kita semua tentang tanggungjawab besar dalam mengisi erti kebebasan dengan kerja keras dan dedikasi dalam membawa Malaysia ke tahap yang lebih maju,” katanya yang kini turut memangku sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Seterusnya, Johari menaruh harapan tinggi agar kementerian itu terus melangkah ke hadapan dengan memperkukuh pelaksanaan akta-akta penting yang bukan sahaja menjaga khazanah alam semula jadi negara, malah menjamin kesejahteraan rakyat dan daya saing negara di peringkat global. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79