UMNO Libaran Sedia Hadapi PRN Bila-bila Masa, Terus Perjuang Kepentingan Rakyat  

LIBARAN, 22 Ogos – UMNO Bahagian Libaran berada dalam ‘mood’ sedia sepenuhnya bagi menghadapi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka semakin hampir dengan pelbagai pelaksanaan memasuki fasa akhir.

Ketua UMNO Sabah bahagian Libaran Datuk Suhaimi Nasir berkata antaranya  pelaksanaan Gerak 17 yang telah diadakan serentak dengan Persidangan UMNO Bahagian Libaran baru-baru ini yang turut melibatkan kepimpinan dan jentera dari tiga DUN utama  iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sungai Sibuga dan Sungai Manila.

“Keseluruhan kawasan Libaran kini sudah berada dalam fasa persiapan penuh. Semua logistik dan keperluan jentera pilihan raya di peringkat bahagian telah disusun rapi sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pembubaran DUN dalam masa terdekat.

“Segala kelengkapan, struktur jentera dan perancangan telah disiapkan. Kita bersedia pada bila-bila masa sekiranya kerajaan negeri membuat keputusan untuk membubarkan DUN,” katanya kepada UMNO-Online.

Inisiatif Gerak 17 merupakan gerakan strategik UMNO Sabah yang memfokuskan kepada 17 aspek kesiapsiagaan jentera pilihan raya merangkumi logistik, komunikasi akar umbi, pemetaan kawasan, dan naratif politik setempat.

Pelaksanaan Gerak 17 di Libaran dijangka memperkukuh lagi kesiapsiagaan akar umbi parti menjelang PRN Sabah yang kian menjadi bualan politik tempatan .- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79