Tanamkan Rasa Cinta Pada Jalur Gemilang, Tak Wajar Dianggap Remeh

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Exco Agama dan Pendidikan Puteri UMNO Bahagian Kuala Selangor, Nur Aasima Ahmad menegaskan bahawa isu penghormatan terhadap Jalur Gemilang tidak wajar dianggap remeh atau dipandang kecil oleh mana-mana pihak.

Jelasnya, usaha Kerajaan Persekutuan yang melabur sejumlah besar peruntukan bagi menanam rasa cinta terhadap negara melalui program pemasangan bendera di sekolah tidak akan memberi makna sekiranya golongan dewasa sendiri gagal menunjukkan tauladan.

“Kalau rasa isu Jalur Gemilang ini isu remeh, isu kecil, isu yang tak perlu di tegur, tak perlu di besar-besarkan, maka sia-sialah usaha Kerajaan Pusat untuk menanam rasa cinta pada Negara dengan melabur sejumlah peruntukkan yang besar tag bendera pada pelajar sekolah.

“Yang perlu di diajar sekarang adalah orang dewasa yang tidak menghormati bendera kebangsaan kita, bukan pelajar sekolah. Paksalah pekerja-pekerja yang pakai bendera di dada, sama ada sektor kerajaan atau swasta.

“Tak perlu hanya menekan pelajar sekolah soal patriotisme sedangkan orang dewasa gagal menunjukkan teladan,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah Aasima lagi, hormat pada Jalur Gemilang adalah tanggungjawab bersama dan bukannya terletak pada pihak tertentu.

“Hormat kepada Jalur Gemilang adalah tanggungjawab bersama. Pihak berkuasa perlu tegas agar nilai ini benar-benar tersemat dalam jiwa rakyat, bukan sekadar slogan,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79