Sambut Baik Perintah Gaji Minimum, Namun Peniaga Kecil Di Sabah Perlu Diberi Perhatian Serius

LIBARAN, 22 Ogos – Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Bahagian Libaran, Shariff Ismarhafiz Sh Abd Rahman menyambut baik pengumuman Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, bahawa Perintah Gaji Minimum kini turut meliputi pekerja sambilan.

Beliau berkata, prinsip melindungi tenaga kerja adalah penting kerana pekerja merupakan aset produktif yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Namun, beliau turut menegaskan bahawa kenaikan gaji minimum tidak boleh dilihat secara terasing daripada realiti kos operasi serta kemampuan perniagaan kecil, khususnya di Sabah.

“Struktur ekonomi di Sabah masih rapuh dengan masalah infrastruktur asas yang belum selesai. Kenaikan gaji minimum mungkin progresif di atas kertas, tetapi dalam realiti, ramai peniaga kecil terpaksa berdepan beban kos operasi yang semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, semakin banyak restoran dan kedai makan di Sabah terpaksa menutup operasi akibat tekanan kos, bukan sahaja kerana kenaikan gaji pekerja, tetapi turut dipengaruhi kelemahan bekalan utiliti asas seperti elektrik dan air.

“Setiap kali bekalan elektrik terputus atau bekalan air terhenti, operasi perniagaan lumpuh serta-merta. Margin keuntungan yang tipis terus terhakis dan akhirnya banyak perniagaan kecil gulung tikar,” jelasnya.

Shariff Ismarhafiz berkata, dari sudut ekonomi buruh, keadaan ini boleh menjadi kontraproduktif kerana apabila peniaga tidak lagi mampu bertahan, pekerja akan kehilangan pekerjaan.

“Kerajaan tidak boleh berhenti pada pengumuman dasar semata-mata. Reformasi ekonomi perlu bermula dengan membaiki asas infrastruktur elektrik, air dan kestabilan kos utiliti sebelum menambah tanggungan baharu kepada peniaga kecil,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan untuk segera mengadakan sesi libat urus bersama wakil peniaga kecil di Sabah bagi memastikan dasar yang dilaksanakan benar-benar realistik dan adil.

“Pekerja memang perlu dilindungi, tetapi majikan kecil juga mesti dipelihara. Ekonomi yang mampan hanya wujud apabila kedua-dua pihak dapat bertahan dan berkembang bersama. Jika peniaga kecil terus tumbang, siapa lagi yang akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat?” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79