Klinik Gigi Diarah Tutup 30 Hari, Pengajaran Jangan Lagi Pasang Bendera Terbalik

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor menyambut baik langkah Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) yang mengambil tindakan undang-undang ke atas sebuah klinik gigi di Pontian baru-baru ini yang telah memasang bendera secara terbalik.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata tindakan MPPn ini wajar dijadikan suatu pengajaran penting bagi memastikan bendera Malaysia sentiasa dipasang dengan sempurna, lebih-lebih lagi ketika negara bakal menyambut kemerdekaan Malaysia yang ke-68.

“⁠Pemuda UMNO Johor yakin pihak MPPn telah bertindak mengikut lunas undang-undang dan dalam bidang kuasa yang diperuntukkan MPPn sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya menerusi satu kenyataan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Mohd Azhar Mail turut sama menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan tegas oleh MPPn.

Beliau meluahkan keyakinan bahawa tindakan yang diambil oleh PBT ini adalah berdasarkan lunas undang-undang serta peruntukan sedia ada, demi memastikan kelestarian, keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

“Wajar dijadikan sebagai satu pengajaran kepada semua pihak agar lebih peka dan bertanggungjawab dalam menjalankan aktiviti pemasangan bahan promosi, termasuk bendera, khususnya menjelang sambutan hari kebangsaan atau sebarang acara rasmi.

“Pemuda UMNO Pontian turut menyeru semua pihak agar menghormati undang-undang dan sentiasa bekerjasama dengan PBT bagi memastikan keharmonian dan semangat patriotik dapat disemarakkan dalam suasana yang teratur dan berdisiplin,” ujar beliau.

Terdahulu, sebuah premis pergigian swasta di Pusat Perdagangan Pontian diarahkan tutup selama 30 hari selepas didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik pada petang Rabu sehingga tular di media sosial.

Yang Dipertua MPPn, Abdul Azim Shamsuddin berkata, notis penutupan telah diserahkan kepada klinik berkenaan pada kira-kira jam 8.20 pagi, Khamis.

Menurut beliau, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan MDP 2019, iaitu berhubung kewajipan pengibaran bendera. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79