Kes Buli Zara Qairina: Sentimen Awam Tidak Boleh Mengatasi Undang-undang – Rahman
KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Peguam, Datuk Habib Rahman Seeni Mohideen memaklumkan kanak-kanak yang dituduh di mahkamah terlindung di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Katanya ini termasuk lima remaja yang bakal didakwa dengan kes yang dikaitkan dengan arwah Zara Qairina Mahathir
“Saya sokong penuh supaya semua pihak patuh pada Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], khususnya Seksyen 15(2) yang jelas melarang pendedahan identiti atau imej kanak-kanak dalam prosiding undang-undang.
“Kanak-kanak yang dituduh di mahkamah juga ada hak sama dan mereka dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan.
“Sentimen awam tidak boleh mengatasi undang-undang,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Mengulas lanjut kata beliau penyiaran identiti kanak-kanak bukan sahaja melanggar undang-undang, malah bertentangan dengan prinsip Konvensyen
Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang telah diratifikasi oleh Malaysia..
“Kanak-kanak mesti dilindungi daripada stigma, penghinaan dan eksploitasi.
“Pendedahan identiti mereka bukan saja menyalahi undang-undang tapi juga bercanggah dengan prinsip CRC yang Malaysia ratifikasi sejak 1995,” ujar beliau.
Terdahulu Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, memaklumkan Akta Kanak-Kanak 2001 tidak hanya melindungi mangsa, sebaliknya ia merangkumi semua kanak-kanak, sama ada mangsa, saksi, atau tertuduh. – UMNO Online