Harap Dr Akmal Terus Bertabah Bawa Perjuangan – Rosni Zahari
KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari berharap Datuk Dr Akmal Saleh untuk bertabah dengan cabaran ditempuhi dalam membawa perjuangan membela agama, bangsa dan negara.
Beliau berkata demikian ekoran pendakwaan dihadapi Dr Akmal Saleh hari ini di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam.
Rosni yang juga pengamal undang-undang juga turut sama mempersoal pendakwaan tersebut dilakukan kerana Dr Akmal hanya konsisten mempertahankan Jalur Gemilang.
“Beliau dituduh di Mahkamah Majistret Pulau Pinang di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang merujuk kepada kesalahan mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam.
“Saya hendak bertanya di mana bahagian yang boleh mendatangkan ketakutan dan kegentaran awam tu? Bagaimana pula dengan orang yang pasang bendera terbalik?
“Sedangkan YB Datuk Dr Akmal ini hanya mempertahankan bendera Malaysia yang merupakan simbol kedaulatan negara kita,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebook.
Rosni berkata ini kerana memasang bendera terbalik itu juga merupakan satu kesalahan di bawah Akta Lambang dan Nama.
“Jadi kalau hendak tuduh, tuduhlah dua-dua… jangan pilih kasih. Kepada anakanda Datuk Dr Akmal bertabahlah nak,” ujar beliau.
Dr Akmal Saleh hari ini mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah, pengakuan tersebut dibuat ketika pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rashidah Mohd Akit.
Ketika prosiding, pihak pendakwaan mencadangkan agar tertuduh diberikan jaminan sebanyak RM10,000, namun, peguam Dr Akmal, Aizat Azam memohon jaminan minimum sebanyak RM2,000 dengan alasan tertuduh mempunyai banyak tanggungan selain perlu melaksanakan tugasnya sebagai wakil rakyat di Melaka dan sebagainya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan kehadiran seorang penjamin serta menetapkan 22 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu serahan dokumen berkaitan. – UMNO Online