Warden Bekas Tentera Mula Bertugas : MRSM Besut Dan Balik Pulau Jadi Perintis – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR,  21 Ogos – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata projek rintis pengambilan Warden bekas tentera mula dilaksanakan dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Balik Pulau serta MRSM Besut menjadi permulaan kepada usaha berkenaan.

Menurut beliau inisiatif mengambil Warden sepenuh masa dari kalangan pesara anggota beruniform yang sudah melalui tapisan ketat dan berpandukan garis panduan jelas mengenai skop kerja mereka merupakan satu pendekatan yang MARA cuba cetuskan dengan teliti.

“Warden-warden bekas tentera sudah memulakan tugas mereka di MRSM Balik Pulau dan MRSM Besut. Ini merupakan projek rintis selama 6 bulan sebagai satu inisiatif penting menangani isu BULI yang wajib dibanteras dan diputuskan rantaian ganasnya.

“InsyaAllah selepas enam bulan, dapatan hasil kajian menyeluruh keberkesanan inisiatif ini akan dilakukan dengan kerjasama pihak ketiga iaitu Institut Kajian Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM). Jika natijahnya positif, insyaAllah MARA akan memperluaskan di keseluruhan 57 MRSM seluruh Malaysia,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Dr Asyraf seterusnya menambah ramai berpandangan termasuk daripada guru-guru dan masyarakat awam yang merasakan tugas Warden ini tidak lagi bersesuaian digalas oleh Guru secara separa masa dengan elaun tambahan yang tidak berpadanan dengan tanggungjawab mereka.

Malah tambah beliau lagi bebanan tugas hakiki para guru juga tidak memungkinkan untuk mereka melaksanakan tanggungjawab tambahan sebagai Warden yang memerlukan komitmen tinggi di luar waktu akademik.

“Moga-moga ada manfaatnya untuk kemenjadian pelajar dan yang paling penting dapat membenteras gejala BULI yang sudah lama berakar umbi dan membudaya di kalangan segelitir pelajar,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79