Pemuda Terengganu Berdiri Teguh Bersama Institusi Ketua Pemuda UMNO Malaysia

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu mengambil maklum dengan dukacitanya berhubung pengumuman bahawa Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh akan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan pada Jumaat ini, 22 Ogos 2025.

Ketuanya, Tengku Haphiz Tengku Putera menegaskan bahawa pertuduhan yang dilemparkan kepada beliau adalah berhubung isu yang diperjuangkan oleh Dr Akmal mengenai insiden Jalur Gemilang yang diterbalikkan dan isu ini telah mendapat perhatian dan sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Kami yakin bahawa Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh tidak bersalah dan akan dibuktikan demikian di mahkamah.

“Institusi Ketua Pemuda UMNO Malaysia adalah suara anak muda dan kami akan terus berdiri teguh di belakang Dr. Akmal serta memberikan sokongan moral yang tidak berbelah bahagi sepanjang proses perbicaraan di mahkamah,” katanya menerusi satu hantaran kenyataan.

Mengulas lanjut, Tengku Haphiz yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu menggesa semua ahli dan penyokong parti dapat menghormati proses undang-undang.

“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu menggesa semua ahli dan penyokong untuk bertenang dan menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.

“Kami akan terus memantau perkembangan kes ini dan akan sentiasa bersolidariti bersama Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79