Operasi Bersepadu Tingkatkan Pematuhan Undang-Undang – Abdul Rahman
KUALA LIPIS, 21 Ogos – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) telah menerima aduan berhubung tindakan sebuah syarikat pembuatan di Kuala Lipis, Pahang yang melaksanakan pemberhentian pekerja tempatan dan mengekalkan pekerja asing, pembayaran faedah penamatan secara ansuran serta kondisi tempat tinggal pekerja yang teruk dan kotor.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, satu operasi bersepadu telah dijalankan dan turut diserta Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sumber Manusia, Kamal Pardi.
“Operasi ini telah dianggotai seramai 49 orang pegawai daripada KESUMA, JTKSM dan anggota operasi Agensi Penguatkuasa Sahabat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Hasil operasi mendapati syarikat berkenaan telah melakukan pelbagai pelanggaran di bawah undang-undang perburuhan. JTKSM akan membuka kertas siasatan di bawah Akta Kerja 1955 (Akta 265) dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446),” katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menegaskan bahawa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan.
“JIM pula akan mengambil tindakan penguatkuasaan berikutan terdapat penggajian pekerja asing tanpa Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), manakala PERKESO akan mengambil langkah susulan berikutan tunggakan caruman oleh majikan,” katanya lagi.
Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis UMNO menegaskan KESUMA melalui operasi ini adalah bagi memastikan kebajikan pekerja sentiasa dilindungi dan majikan bertanggungjawab sepenuhnya dalam mematuhi perundangan perburuhan negara.
“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana majikan yang melanggar undang-undang perburuhan dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kebajikan pekerja adalah terjamin,” tegasnya. – UMNO Online