Kes Zara Qairina: Identiti 5 Remaja Terlindung Bawah Akta Kanak-Kanak 2001
KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Pengamal Undang-Undang, Datuk Adnan Seman memaklumkan tuntutan ramai pihak agar identiti lima tertuduh membabitkan kematian Zara Qairina Mahathir didedahkan bukan sahaja terhalang oleh peruntukkan undang-undang malah tidak menepati asas dan matlamat penubuhan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (BKK) itu sendiri.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak berkata ia prosiding jenayah di BKK hanya dijalankan terhadap tertuduh kanak-kanak yang berumur 10 hingga 18 tahun sahaja, ia berdasarkan tafsiran terhadap peruntukan Seksyen 2 Akta 611, Seksyen 82 dan Seksyen 83 Kanun Keseksaan.
“MBKK dahulunya dikenali sebagai Mahkamah Juvana, perubahan nama akibat penggubalan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang memansuhkan Akta Mahkamah Juvana 1947.
“Persidangan perbicaraan di Mahkamah BKK hendaklah dijalankan secara tertutup tanpa kehadiran orang awam dan Seksyen 12(3) Akta 611 hanya membenarkan kehadiran:
(a) anggota dan pegawai Mahkamah itu;
(b) kanak-kanak yang menjadi pihak dalam kes di hadapan Mahkamah itu, ibu dan bapa, penjaga, peguam bela dan saksi mereka dan orang lain yang ada kena-mengena secara langsung dengan kes itu; dan
(c) mana-mana orang lain yang bertanggungjawab sebagaimana yang ditentukan oleh Mahkamah itu.
Mengulas lanjut kata beliau, Seksyen 15(1) dan 15(2) Akta 611 pula menyekat sebarang pelaporan dan penyiaran media membabitkan identiti kanak-kanak di Mahkamah BKK samada yang dituduh, saksi mahupun mangsa dan mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1)
“… atau subseksyen (2) tersebut apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
“Larangan itu hanya boleh diketepikan dengan perintah Mahkamah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 15 (3)(a) iaitu bagi mencapai keadilan kepada kanak-kanak tersebut,” katanya lagi.
Adnan dalam pada itu berkata dalam sebuah artikel undang-undang bertajuk “Kewajaran Mahkamah bagi Kanak-kanak di Malaysia” Universiti Utara Malaysia menyatakan Mahkamah BKK adalah satu kewajaran yang tidak boleh dipersoalkan.
Katanya lagi, artikel tersebut juga menyebut tertuduh kanak-kanak perlu dibezakan daripada tertuduh dewasa dan proses perbicaraan kesalahan kanak-kanak perlu diasingkan daripada kesalahan orang dewasa.
“Menurut artikel itu juga, kanak-kanak seharusnya dilindungi dan diberikan bentuk pemulihan yang sesuai jika didapati sabit dengan kesalahan. Mereka tidak harus dihukum dengan hukuman yang diperuntukkan terhadap pesalah dewasa yang sabit bagi kesalahan yang sama.
“Sebarang proses perbicaraan dan penghukuman terhadap kanak-kanak harus diwacanakan mengikut acuan yang berbeda berlandaskan falsafah pemulihan tingkahlaku kanak-kanak. Mahkamah BKK dilihat sebagai medium yang sesuai bagi mencapai matlamat murni tersebut,” katanya lagi. – UMNO Online