Kerajaan Johor Tolak Budaya Buli…Hentikan Buli – Aznan Tamin
KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Kerajaan Negeri Johor menentang sekeras-kerasnya isu buli dalam kalangan masyarakat, sama ada di sekolah, tempat kerja mahupun di alam maya.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, pihaknya telah menggerakkan kempen secara serius ke seluruh negeri bagi memastikan mesej pencegahan buli dapat disampaikan kepada semua lapisan masyarakat.
“Kami pimpinan Kerajaan Negeri Johor menentang sekeras-kerasnya isu buli di Johor dan kempen secara serius telah digerakkan ke seluruh negeri Johor.
“Sebagai sebuah negeri yang menitikberatkan nilai hormat, kasih sayang, dan tolong-menolong, kita mesti bersatu menolak sebarang bentuk buli sama ada di sekolah, tempat kerja, mahupun di alam maya. Setiap anak Johor berhak untuk belajar, bekerja, dan hidup dalam persekitaran yang selamat tanpa rasa takut atau tertekan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Aznan yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia mengajak setiap individu memainkan peranan penting dalam mencegah dan melaporkan sebarang insiden yang boleh mengundang bahaya kepada pelajar.
“Marilah kita sama-sama menjadi mata dan telinga masyarakat untuk melindungi generasi muda daripada gejala ini. Lapor segera, cegah bersama, dan sebarkan kesedaran bahawa #JohorSafeZone adalah milik kita semua. Ayuh bersama-sama meyahut seruan kempen Hentikan Buli ini… Buli Bukan Budaya Johor,” ujarnya.
Terdahulu, Kerajaan Johor menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani isu buli di sekolah yang semakin membimbangkan.
Jawatankuasa khas akan bertindak sebagai platform penyelarasan bagi sekolah, ibu bapa, komuniti, agensi keselamatan dan pihak berkuasa. – UMNO Online