‘Benarlah Kata Orang, Perjuangan Ini Tidak Pernah Mudah’ – Nurul Amal

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO sebagai wadah perjuangan anak muda dalam membawa agenda agama, bangsa dan negara, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

Katanya, kedua-dua sayap ini memainkan peranan penting bagi menyampaikan aspirasi parti sekaligus mendukung perjuangan dibawa kepimpinan terdahulu.

“Pemuda dan Puteri adalah wajah orang muda dalam parti. Apa sahaja yang kita lakukan, niatnya adalah untuk parti yang kita sayangi, agama yang kita sanjungi, serta maruah negara yang kita junjung.

“Segala yang berlaku sepanjang jalan perjuangan ini wajar dijadikan panduan dan pengalaman.

“Parti kita memerlukan kekuatan generasi muda untuk terus membawa obor kemenangan, khususnya dalam menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Nurul Amal dalam pada itu, turut sama menyatakan sokongan beliau kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh yang bakal berdepan pertuduhan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada esok.

“Adat bersahabat dalam parti, seikat bak sirih, serumpun bak serai. Dimaklumkan bahawa sahabat saya, YB Datuk Dr Akmal Salleh akan didakwa pada Jumaat.

“Benarlah kata orang, perjuangan ini tidak pernah mudah dalam mengangkat martabat agama, bangsa dan tanah air tercinta.

“Puteri UMNO juga sentiasa menghormati undang-undang negara dan mengharapkan keputusan yang adil buat YB Datuk Dr Akmal,” ujar beliau.

Pada 14 Ogos lalu, Dr Akmal dilaporkan mengetuai lebih 300 individu dalam satu perarakan sejauh 1.4 kilometer bagi membantah tindakan sebuah kedai perkakasan yang mempamerkan bendera negara secara terbalik. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79