Veteran UMNO Johor Berdiri Teguh, Nyata Sokongan Kepada Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Veteran UMNO Johor berdiri teguh dan menyatakan sokongan penuh kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung isu kesilapan pemasangan bendera.

Pengerusinya, Datuk Othman Jais menerusi satu kenyataan berkata, insiden kesilapan pemasangan bendera adalah perkara yang serius kerana ia melibatkan maruah dan kedaulatan negara.

“Veteran UMNO Negeri Johor sebulat suara menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh berhubung isu pemasangan bendera negara secara terbalik.

“Veteran UMNO Johor berpendapat bahawa insiden bendera terbalik adalah suatu perkara yang serius kerana ia melibatkan maruah dan kedaulatan negara.

“Pemasangan bendera negara diatur dengan jelas melalui Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] serta Peraturan-peraturan Bendera Kebangsaan 1963, memperuntukkan cara pemasangan Jalur Gemilang dengan betul termasuk apa yang dilarang,” katanya.

Tegasnya, mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan tersebut sama ada kerana cuai atau sengaja perlulah dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya.

“Oleh itu, mana-mana individu, pihak berkuasa tempatan, agensi dan syarikat yang didapati cuai atau sengaja memasang bendera secara terbalik wajib dikenakan tindakan undang-undang tanpa pilih kasih.

“Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan dan identiti negara. Tiada kompromi dalam menjaga kehormatannya dan tindakan tegas mesti dikenakan tanpa mengira siapa yang melakukan kesalahan. Namun jangan sekali-kali bendera negara dijadikan modal politik untuk mengaibkan pihak lawan.

“Veteran UMNO Johor dengan itu berdiri teguh di belakang Dr Akmal Saleh dan menyeru seluruh rakyat agar sentiasa menghormati bendera negara sebagai tanda kasih serta taat setia kepada tanah air tercinta,” katanya lagi.

Untuk rekod, Himpunan Solidariti Jalur Gemilang telah diadakan pada 14 Ogos lalu dan dilaporkan lebih 500 individu yang diketuai Dr Akmal telah berarak dari tapak pasar malam Kepala Batas sejauh lebih 1.4 kilometer ke sebuah kedai peralatan elektronik yang pernah tular mengibarkan bendera Jalur Gemilang secara terbaik.

Pada Selasa media melaporkan Dr Muhamad akan memendekkan umrahnya kerana perlu hadir ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Jumaat ini.

Dr Akmal berkata, beliau akan dihadapkan di mahkamah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun keseksaan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79