UMNO Lahad Datu Teruskan Program Saling Mengasihi, Bukti Perjuangan Tidak Pernah Putus
LAHAD DATU, 20 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul terus menggerakkan Program Saling Mengasihi dengan menyampaikan bantuan dan bakul makanan kepada para pemohon termasuk baru-baru ini di Kampung Sapagaya dan Kampung Turusan Silam.
Beliau berkata, usaha ini adalah sebahagian daripada khidmat bakti UMNO yang telah sekian lama sebati dengan perjuangan parti iaitu memastikan rakyat tidak dibiarkan terhimpit dengan masalah kos sara hidup dan beban kehidupan seharian.
“Alhamdulillah, walaupun jadual program amat padat, UMNO Bahagian Lahad Datu tetap berusaha untuk memenuhi permohonan yang dikemukakan. Kami mohon maaf atas kelewatan tetapi insya-Allah bantuan akan tetap sampai kepada semua penerima,” katanya.
Sharif Musa menegaskan, perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bukanlah bersifat bermusim atau hanya muncul ketika pilihan raya, sebaliknya ia adalah komitmen berterusan yang mengalir dalam denyut nadi setiap ahli parti.
“Program sebegini adalah bukti jelas bahawa UMNO sentiasa mendahulukan rakyat. Kita hadir bukan hanya dengan janji, tetapi dengan tindakan nyata. Inilah tradisi khidmat bakti yang sudah lama sebati dalam perjuangan UMNO,” ujarnya.
Turut bersama dalam program di Kampung Turusan Silam ialah pasukan Nukleus Terengganu dan barisan AJK UMNO Bahagian Lahad Datu yang sama-sama turun padang menyantuni rakyat.
“Kehadiran mereka memberi semangat kepada penerima bantuan serta mengukuhkan lagi semangat muafakat dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.
Sharif Musa menambah, UMNO sentiasa istiqamah dengan agenda perjuangan membela rakyat tanpa mengira latar belakang, dan akan terus menjadi wadah politik yang mendengar denyut nadi masyarakat serta tampil mencari penyelesaian.
“Rakyat adalah nadi perjuangan UMNO. Inilah asas mengapa parti ini kekal relevan kerana perjuangan kita tidak pernah terputus, malah semakin diperkukuh dari semasa ke semasa,” katanya.
Ujarnya lagi, program Saling Mengasihi ini akan diteruskan ke kampung-kampung lain dalam kawasan Lahad Datu dari masa ke masa, sebagai tanda komitmen berterusan UMNO dalam membantu meringankan beban rakyat. – UMNO Online