Sabah Perlu Fokus Perpaduan, Bukan Medan Alih Isu Politik – Dr Anil Sandhu
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Sabah tidak harus dijadikan medan untuk politik alih isu lebih-lebih lagi hal yang berpunca dari luar negeri ini, kata Bendahari Pemuda UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Dr Anil Sandhu.
Menerusi satu kenyataannya, Anil Sandhu berkata semua pemimpin ada tanggungjawab lebih besar, menjaga kestabilan politik dan mengutamakan rakyat.
“Barisan Nasional (BN) khususnya Pemuda, kekal komited untuk bersama rakyat Sabah membina negeri dan negara dengan semangat perpaduan, bukannya dengan sekatan atau larangan yang hanya memecahbelahkan.
“Isu yang dipetik hanya berlaku di Semenanjung dan tidak ada kaitan secara langsung dengan Sabah, malah telah berlalu lebih daripada seminggu tanpa sebarang kesan ketara terhadap keamanan dan keharmonian negeri ini.
“UMNO adalah sebahagian daripada Kerajaan Madani yang sedang memacu agenda perpaduan, pembangunan dan kebajikan rakyat. Mengapa seorang pemimpin muda yang tegas memperjuangkan isu-isu nasional mahu diperlakukan seolah-olah pengganas yang perlu dihalang masuk ke Sabah? Tindakan sebegini hanya akan menimbulkan persepsi negatif terhadap perpaduan nasional yang kita bina bersama,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Anil yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu mempertikaikan kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin, yang mendesak agar Ketua Pemuda UMNO dan Pemuda BN Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, dihalang daripada memasuki Sabah.
“Dr. Akmal bukan sebarang figura, beliau adalah seorang pejuang sejati untuk negara. Jasa dan pengorbanan beliau dalam membela rakyat, terutamanya generasi muda, tidak boleh dinafikan. Daripada isu kebajikan sehinggalah suara lantang memperjuangkan kepentingan negara, sumbangan beliau sudah terbukti.
“Kita hormati suara semua parti tapi sekarang sudah tenang jadi tidak perlu memanaskan lagi isu. Kalau kamu tidak mahu Dr Akmal bersuara, jadi kamu juga jangan cuba bersuara.
“Rakyat Sabah sedang menanti kepimpinan yang fokus pada pembangunan, ekonomi, dan peluang pekerjaan,” katanya.
Justeru kata Dr Anil lagi, adalah lebih baik untuk Su Phin memberi tumpuan kepada menjaga parti LDP sebaiknya, memperkukuhkan kepercayaan rakyat, dan bukannya mencetuskan polemik yang tidak membawa manfaat. – UMNO Online