RTB Parit Besar Dan Bandar Batu Pahat: Bukti Kerajaan Serius Tangani Masalah Banjir

BATU PAHAT, 20 Ogos – Kerajaan Negeri Johor terus komited melaksanakan pelbagai usaha bagi menangani masalah banjir yang sekian lama membelenggu penduduk di daerah ini, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Mohd Najib Samuri, berkata Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Parit Besar yang menelan kos RM4 juta akan mula dilaksanakan bulan ini oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Alhamdulillah, projek ini adalah sebahagian daripada ikhtiar Kerajaan Negeri Johor untuk mengurangkan risiko banjir kilat di Parit Besar.

“Apabila siap pada Februari 2027 nanti, ia akan memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 buah rumah yang sebelum ini sering terjejas,” katanya kepada UMNO-Online.

Selain itu, katanya lagi, Projek RTB Bandar Batu Pahat dengan kos anggaran RM200 juta pula kini berada di peringkat memuktamadkan reka bentuk oleh kontraktor dilantik dan akan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan.

“Ini bukti kesungguhan kerajaan negeri dan Persekutuan untuk menangani isu banjir yang telah lama menghantui penduduk Batu Pahat. Ia bukan sahaja mengurangkan kerugian harta benda malah melindungi kesejahteraan komuniti setempat,” tambah beliau.

Menurut Mohd Najib, satu sesi taklimat khas mengenai pelaksanaan Projek RTB Parit Besar akan diadakan Isnin depan melibatkan pemimpin masyarakat dan komuniti setempat.

“Ujian alam adalah ketentuan-Nya, tetapi usaha dan ikhtiar untuk mengelakkan kemusnahan kawasan kediaman serta infrastruktur awam tetap menjadi tanggungjawab kita bersama.

“Kerajaan negeri tidak akan berdiam diri, sebaliknya terus mencari jalan untuk melindungi rakyat,” tegasnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79