PLKN 3.0 Intervensi Strategik, Bina Generasi Muda Berdisiplin

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 adalah satu intervensi strategik yang dirancang khas untuk membina generasi muda Malaysia yang berdisiplin, berjiwa patriotik dan berdaya tahan.

Pada sesi Penggulungan Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini, beliau menjelaskan dalam dunia yang semakin kompleks, pemupukan nilai kenegaraan dan kesedaran pertahanan adalah asas penting untuk memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara.

“Namun, kajian Indeks Belia Malaysia (IBM) oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) bagi tempoh 2015 – 2019 menunjukkan kemerosotan skor dalam domain identiti belia yang merangkumi patriotisme, kesukarelawanan dan perpaduan. Perkara ini amat kritikal dan perlu dibendung dengan segera.

“Kita seharusnya membentuk satu kelompok dalam masyarakat yang benar-benar memahami soal keselamatan dan pertahanan negara, bukan sekadar mengetahui secara umum,” katanya.

Katanya lagi, golongan ini juga akan menjadi penghubung dan penyokong kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan menyemai semangat patriotisme dan memberi dorongan kepada masyarakat untuk bersama-sama mempertahankan negara.

“Kita mesti sedar, bahawa pertahanan negara bukan tugas eksklusif anggota tentera. Malah, ia memerlukan pemahaman dan sokongan seluruh rakyat. Semakin ramai rakyat yang memahami pertahanan, semakin licin dan berkesanlah tugas yang dijalankan oleh ATM.

“Atas sebab inilah, PLKN diwujudkan semula. Supaya wujudnya kumpulan masyarakat yang betul-betul faham, mampu bertindak dan bersedia menyumbang jika negara memerlukan,” tambahnya.

Tambahnya lagi, melalui gabungan latihan ketenteraan, pembangunan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, kerjasama dan kesukarelawanan, serta penekanan kepada nilai perpaduan nasional, PLKN 3.0 melengkapkan pembangunan modal insan yang tidak hanya fokus kepada akademik, tetapi juga sahsiah dan semangat kenegaraan, yang sejajar dengan doktrin Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).

“Kini, kekuatan angkatan tentera kita terdiri daripada 121,157 orang anggota ATM dan 34,086 orang anggota sukarelawan. Angka ini menunjukkan bahawa kita masih jauh daripada sasaran nisbah 1:1 antara anggota tetap dan simpanan,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79