Pemuda UMNO Terus Bersolidariti Bersama Dr Akmal – Sollehin
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menegaskan pendirian untuk berdiri teguh bersama ketuanya, Datuk Dr. Akmal Saleh yang bakal berdepan pertuduhan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 22 Ogos ini.
Menurut Ketua Penerangannya, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie, pendakwaan terhadap Dr. Akmal di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dilihat sebagai satu bentuk intimidasi politik untuk menutup suara teguran terhadap isu kedaulatan Jalur Gemilang.
“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bersolidariti penuh bersama-sama YB Datuk Dr Akmal Saleh dalam menghadapi ujian getir ini.
“Kami akan terus memberikan sokongan agar keadilan akan dapat dibuktikan di mahkamah yang mulia,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Katanya, Dr Akmal berdepan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan merujuk kepada kesalahan mengeluarkan kenyataan, khabar angin atau laporan yang berpotensi menimbulkan ketakutan atau mengganggu ketenteraman awam.
“Pertuduhan yang akan dikenakan adalah berhubung isu yang diperjuangkan YB Datuk Dr Akmal Saleh dan Pergerakan Pemuda UMNO mengenai insiden Jalur Gemilang yang dikibarkan secara terbalik dan Himpunan Solidariti Jalur Gemilang di Bertam, Kepala Batas baru-baru ini,” ujar beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan mempertahankan maruah Jalur Gemilang tidak boleh dianggap sebagai satu kesalahan, sebaliknya adalah tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia. – UMNO Online