MUDA Hilang Arah, Fitnah Terhadap Ahmad Zahid Cuba Alih Perhatian – Armand Azha

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah berpendapat parti MUDA sebenarnya sudah hilang arah dan dilihat sebagai alat politik oleh tangan-tangan ghaib.

Menurutnya, sepatutnya fokus utama parti itu adalah memperjuangkan isu-isu penting yang dekat dengan generasi muda seperti pendidikan, ekonomi, sosial, budaya, kesukarelawanan dan kos sara hidup; bukannya memainkan isu politik yang sudah diselesaikan melalui proses undang-undang.

“Kes Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah pun mendapat DNAA, secara sudut undang-undang jika tidak silap maksudnya tak ada bukti dan bila disebut semula tanpa bukti-bukti kukuh ke mahkamah. Ianya boleh diintipritasikan sebagai fitnah dan pertuduhan yang lebih ke arah pertuduhan politik.

“Tindakan Setiausaha Agung MUDA membuat kenyataan terbuka berunsur intimidasi tanpa bukti kukuh adalah satu bentuk fitnah, sekaligus cubaan untuk mengalih perhatian dan meraih simpati rakyat. Tuduh secara terbuka tanpa bukti, pihak yang dituduh boleh ambil pendekatan untuk saman melalui proses mahkamah.

“Ini kerana ucapan dibuat secara terbuka pada tubuh badan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah satu agenda jahat untuk mencipta persepsi jahat pada kepimpinan negara yang boleh menganggu gugat kestabilan politik,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Armand turut mempersoalkan sikap pilih kasih MUDA yang berdiam diri apabila berdepan isu-isu membabitkan pemimpin pembangkang.

“Kenapa senyap bila bekas presiden anda sendiri berdepan kes mahkamah berkaitan rasuah? Kenapa diam bila ada kes rasuah besar dalam blok pembangkang? Kenapa tak bersuara bila ada individu melarikan diri daripada menghadapi pertuduhan di mahkamah? Mengapa MUDA hanya memilih isu tertentu?” soalnya.

Beliau berkata, sikap parti itu yang menabur fitnah tetapi kemudian memainkan peranan sebagai mangsa apabila disaman di mahkamah menunjukkan MUDA semakin hilang pedoman.

“MUDA kini ibarat baling batu sembunyi tangan. Mereka bukan lagi memperjuangkan kepentingan anak muda, sebaliknya menjadi alat politik pihak tertentu,” tegasnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79