KPWKM Komited Perkukuhkan Dasar Dan Undang-Undang, Bendung Keganasan Rumah Tangga

IPOH, 20 Ogos – Komitmen Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk menangani keganasan rumah tangga adalah jelas dan tidak berbelah bahagi.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kementerian terbabit akan terus melaksanakan program berbentuk pencegahan, perlindungan dan pemulihan agar tiada siapa pun tercicir daripada sistem sokongan yang diwujudkan.

“KPWKM sentiasa komited dalam memperkukuhkan dasar, undang-undang serta mekanisma dalam menyampaikan maklumat dan sokongan kepada komuniti terutamanya mangsa keganasan rumah tangga.

“Usaha meningkatkan kesedaran, memberi keyakinan dan keberanian kepada wanita untuk bersuara, serta menyediakan ruang sokongan dan pemulihan yang selamat merupakan komponen penting dalam menangani isu ini secara menyeluruh.

“Program Advokasi Kesejahteraan untuk Wanita@Keganasan Rumah Tangga atau Aku Wanita@KRT diwujudkan sebagai platform strategik bagi mendekati masyarakat melalui aktiviti berimpak tinggi yang telus terhadap masyarakat dalam menangani KRT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Advokasi Kesejahteraan untuk Wanita@Keganasan Rumah Tangga atau Aku Wanita@KRT, di Dewan Galasa Caldwell, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat; Datuk Salbiah Mohamed; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Negeri Perak; Jenny Choy Tsi Jen; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning merangkap Timbalan Dipertua Speaker Dewan Undangan Negeri Perak; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan); Halizah Sipun dan wakil daripada agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia menjelaskan melalui program ini, isu-isu berkaitan keganasan rumah tangga akan dibincangkan secara mendalam bersama pakar dalam bidang tersebut dan juga pemandiri yang telah bangkit dari masalah KRT sebelum ini.

“Sesi intervensi psikologi yang dinamakan ‘K-Chat’ juga telah diperkenalkan. Sesi ini merupakan intervensi berkumpulan antara pemandiri bersama kaunselor dan fasilitator terlatih untuk membantu peserta memahami dan menangani isu yang melanda diri akibat keganasan.

“KPWKM menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) telah menjalankan pelbagai program lain bagi membantu wanita seperti forum keganasan rumah tangga bertajuk ‘Ayoh Berani Lapor’, program psikopendidikan seperti Program Meningkatkan Daya Tahan dan Psikologi Wanita (Matahari) dan Program Literasi Perundangan dan Hak Wanita (IRIS) serta Skuad Waja,” katanya lagi.

Tambah Noraini, dengan penganjuran program seumpama ini akan dapat meningkatkan kesedaran dan memberi manfaat kepada para peserta kerana keganasan rumah tangga memberi kesan besar terhadap institusi sosial negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79