Grand Prix Buru Ikan Asing: Bukan Sekadar Hobi, Tapi Selamatkan Ekosistem – Khairul Azwan
PASIR SALAK, 20 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Khairul Azwan Harun menyifatkan Program Grand Prix Memburu Ikan Asing sebagai salah satu pendekatan efektif dalam usaha memelihara ekosistem sungai dan memastikan habitat semula jadi terus subur.
Beliau berkata, program yang dianjurkan Jabatan Perikanan Negeri Perak itu membawa mesej penting kepada masyarakat tentang kepentingan mengawal populasi spesies ikan asing yang mengancam biodiversiti akuatik negeri ini.
“Program ini bukan sahaja menjadi platform penyertaan para pemancing, malah turut memberi kesedaran mengenai ancaman spesies ikan asing terhadap habitat semula jadi serta usaha mengekalkan kelestarian biodiversiti akuatik Negeri Perak,” katanya kepada UMNO-Online.
Khairul Azwan yang hadir merasmikan Grand Prix Memburu Ikan Asing Siri 2/2025 di Jeti Nelayan Darat Sungai Galah pada Isnin menjelaskan, pertandingan itu menampilkan format khas iaitu peserta perlu menangkap sebanyak mungkin spesies ikan asing tertentu seperti ikan bandaraya, baung ekor merah, Amazon redtail catfish, patin Chao Phraya dan peacock bass.
“Saya berbesar hati kerana inisiatif ini memberi manfaat bukan sahaja dari aspek ekologi, malah kepada komuniti nelayan darat tempatan,” tambah beliau sambil merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perikanan Negeri Perak atas usaha proaktif tersebut.
Hadir sama pada program itu ialah Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Perak, Tn Hj Mohd Ghazali A Manap serta CADO, Sdr Mohd Amirudin Kesmiran. – UMNO Online