Dr Asyraf Beri Amanat Kepada 812 Pelajar MARA Ke Luar Negara
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini mengadakan pertemuan bersama 812 orang pelajar MARA yang bakal melanjutkan pengajian ke luar negara.
Dr Asyraf juga menyampaikan amanat kepada pelajar-pelajar tersebut yang akan dihantar ke United Kingdom, Kanada, New Zealand, Australia, Jerman, Perancis, China, India dan Jordan.
“Saya peringatkan mereka bahawa setiap sen yang dibelanjakan merupakan amanah rakyat untuk mereka memanfaatkan sepenuhnya peluang berada di bumi asing untuk menimba ilmu, pengalaman dan jaringan.
“Akhirnya wajib kembali ke Malaysia untuk menyumbang ke arah kebangunan negara, agama dan bangsa,” ujarnya Dr Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO dalam satu hantaran di Facebook.
Seterusnya, Dr Asyraf juga mengingatkan kepada mereka agar jangan lupa daratan dan jangan mudah terpengaruh dengan budaya asing.
“Asasnya tiga perkara untuk memastikan jatidiri terpelihara iaitu jaga solat, Al-Quran jangan tinggal walau sehari dan zikir al-Mathurat sebagai pendinding,” katanya.
Sehubungan itu Dr Asyraf mendoakan agar mereka berjaya dengan cemerlang, dihindari segala mudarat dan akan menjadi pemimpin yang bermanfaat kepada keluarga, agama, bangsa dan negara satu hari nanti. – UMNO ONLINE