Buli Bukan Isu Disiplin Tapi Jenayah Sosial, Jejas Generasi Masa Depan – Israk
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Md Israk Abdullah menyambut baik komitmen Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang telah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Anti-Buli Negeri Johor.
Beliau berkata langkah tersebut amat bertepatan kerana buli bukan lagi isu disiplin semata-mata, sebaliknya satu jenayah sosial yang mampu merosakkan masa depan anak bangsa.
“Menjunjung kasih atas titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang menegaskan bahawa gejala buli mesti ditangani segera dengan langkah penguatkuasaan yang lebih tegas demi menjamin keselamatan anak-anak kita di sekolah.
“UMNO Johor menyokong lima fokus utama yang digariskan, termasuk penyelarasan sekolah, penglibatan pelajar melalui program rakan sebaya, peranan ibu bapa dan komuniti, kerjasama penguatkuasaan bersama pihak PDRM, serta pelaksanaan kempen kesedaran dan sokongan psikososial.
“Usaha menyeluruh ini membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam menangani isu buli secara holistik,” katanya menerusi satu kenyataan.
Md Israk yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai berkata perhatian khusus perlu diberikan terhadap aspek keselamatan di sekolah berasrama penuh, MRSM, sekolah agama dan institusi yang berasrama.
Katanya ini kerana setiap pelajar berhak menikmati persekitaran pembelajaran yang selamat, bebas daripada budaya senioriti melampau.
“UMNO Johor menyeru agar semua pihak termasuk pentadbir sekolah, warden, guru, ibu bapa, komuniti serta pelajar sendiri dapat berganding bahu menjayakan agenda ini. Masyarakat Johor mesti bergerak sebagai satu pasukan untuk menghentikan budaya buli.
“UMNO Johor akan terus bersama kerajaan negeri dalam mempergiatkan usaha penerangan, meningkatkan kesedaran masyarakat, dan memperkukuh saluran advokasi agar mesej “Buli Bukan Budaya Johor” benar-benar meresap ke dalam jiwa rakyat,” ujar beliau.
Terdahulu, Onn Hafiz menggesa orang ramai memainkan peranan aktif dalam membanteras budaya buli dengan menyalurkan aduan melalui platform khas yang disediakan pihak berkuasa.
“Sekiranya melihat, mendengar atau menjadi mangsa bull, jangan berdiam diri. Gunakan hotline aduan 24 jom untuk murid sekolah melalui Sistem Aduan Bull Kementerian Pendidikan (KPM) di talian 03-88849325 atou aplikasi WhatsApp di talian 014-8009325.
“Bagi murid tadika dan prasekolah pula, aduan boleh dibuat menerusi Talion Kasih 15999 atau WhatsApp 019-2615999 di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya. – UMNO Online