Usaha Bangun Sosioekonomi Kaum India, Kesiapsiagaan Pertahanan Negara Tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Usaha Kerajaan MADANI membangunkan sosioekonomi masyarakat India dan tahap kesiapsiagaan pertahanan negara mendepani ketidaktentuan geopolitik dunia antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen, S. Kesavan (PH-Sungai Siput) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri meminta Perdana Menteri menyatakan fokus kerajaan melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) atau agensi lain dalam usaha pembangunan sosioekonomi masyarakat India secara menyeluruh.

Pada sesi sama, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) meminta Perdana Menteri menyatakan tahap kesiapsiagaan pertahanan negara dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik dunia dan serantau.

Pada sesi soal jawab pula, Tan Hong Pin (PH-Bakri) bertanya kepada Menteri Dalam Negeri mengenai kemajuan yang dicapai dalam menyelesaikan baki 11,000 permohonan kewarganegaraan menjelang Jun 2025 dan langkah jangka pendek yang akan diambil untuk membantu pemohon yang belum berjaya.

Lim Lip Eng (PH-Kepong) pula meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan tindakan kementerian terhadap 400,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membuat sebarang bayaran selepas 10 tahun, melibatkan jumlah pinjaman RM5 bilion.

Lim turut bertanya adakah kementerian bercadang memansuhkan hutang PTPTN secara bersasar bagi golongan miskin tegar.

Turut bertanyakan soalan ialah Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang meminta Menteri Komunikasi menyatakan mekanisme kawalan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan adakah kerajaan akan menggubal undang-undang yang mewajibkan penerbit kandungan meletakkan label pada konten termasuk imej dan video yang dijana atau dimanipulasi oleh AI.

Selepas sesi soal jawab, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan penggulungan perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh menteri-menteri berkaitan.

Sebanyak 161 Ahli Parlimen telah menyertai sesi perbahasan RMK13 yang berlangsung selama lapan hari bermula 4 Ogos lepas.

RMK13 bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 31 Julai lepas, dengan peruntukan pelaburan RM611 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 24 hari sehingga 28 Ogos.- BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79