Tindakan MUDA Bersifat Populis, Mampu Cemar Prinsip Keluhuran Undang-Undang

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Tindakan Parti MUDA yang melancarkan kempen untuk mendesak Jabatan Peguam Negara (AGC) membuka semula kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah bersifat populis.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Johor Bahru, Ahmad Solehin Abd Ghani berkata, ia juga berpotensi untuk mencemarkan prinsip keluhuran undang-undang dan kebebasan institusi kehakiman negara.

“UMNO Johor Bahru memandang serius tindakan Parti MUDA yang melancarkan kempen mendesak AGC membuka semula kes-kes mahkamah tertentu, khususnya melibatkan Timbalan Perdana Menteri.

“Tindakan ini bukan sahaja bersifat populis, bahkan berpotensi mencemarkan prinsip keluhuran undang-undang dan kebebasan institusi kehakiman negara.

“AGC sebagai institusi perundangan utama negara wajib bebas daripada tekanan politik, termasuk dari parti kecil seperti MUDA yang seolah-olah memperalatkan sentimen rakyat demi agenda politik mereka sendiri,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tegasnya, setiap keputusan AGC adalah berdasarkan kepada siasatan, keterangan dan merit undang-undang.

“Perlu ditegaskan bahawa setiap keputusanAGC dibuat berdasarkan siasatan, keterangan dan merit undang-undang, bukan berdasarkan trend media sosial atau desakan jalanan. Ini adalah asas kepada prinsip ‘Rule of Law’ yang kita semua junjung.

“Malangnya, modus operandi parti seperti MUDA adalah jelas, mereka meniru skrip lama yang pernah digunakan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, iaitu menyerang dan memburukkan kepimpinan tertinggi UMNO. Dahulunya Datuk Seri Najib diserang habis-habisan sebelum dijatuhkan.

“Hari ini, serangan ditujukan pula kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO. Matlamat mereka adalah untuk melemahkan UMNO dari dalam. Kita jangan sekali-kali termakan permainan ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa UMNO Johor Bahru sentiasa berdiri teguh mempertahankan kebebasan institusi negara daripada diperalatkan oleh mana-mana pihak.

“Sekiranya Parti MUDA benar-benar berjuang untuk ‘kebenaran’, sebagaimana dakwaan mereka, maka langkah yang lebih rasional adalah dengan menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) pemantau integriti, bukan berselindung di sebalik nama parti politik untuk menekan institusi kehakiman.

“UMNO Johor Bahru berdiri teguh mempertahankan kebebasan institusi negara daripada diperalat oleh mana-mana pihak yang mahu membakar sentimen kebencian terhadap pemimpin negara.

“Jika MUDA benar-benar mahu menjadi sebahagian daripada penyelesaian, bukan sebahagian daripada kekeliruan, maka berhujahlah di medan demokrasi, bukan dengan fitnah dan tekanan massa.

“UMNO Johor Bahru sentiasa terbuka kepada proses pengadilan yang adil dan saksama. Tetapi kita menolak segala bentuk perbicaraan oleh media, keputusan oleh tekanan awam dan campur tangan politik terhadap badan kehakiman,” katanya lagi.

Pada Isnin media melaporkan MUDA melancarkan kempen menuntut AGC membuka semula kes-kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pemangku presiden parti itu, Amira Aisya Abdul Aziz berkata kempen itu penting kerana rakyat berhak tahu kebenaran. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79