Sentimen Kenegerian Sekadar Kempen Menjelang PRN Sabah – Suhaimi

KOTA KINABALU, 18 Ogos 2025 – Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir melihat sentimen kenegerian termasuklah ‘Sabah for Sabahan’ dan sebagainya sekadar kempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang semakin hampir.

Dalam wawancara bersama UMNO-Online, beliau menegaskan bahawa sentimen kenegerian semata-mata tidak mampu menjadi sandaran untuk mentadbir negeri dengan berkesan.

“Bukan soal orang Sabah atau bukan, majoriti pemimpin UMNO Sabah juga adalah anak jati negeri ini. Yang penting adalah keupayaan dan rekod pelaksanaan. Apa gunanya parti lokal jika hanya gah pada slogan tetapi gagal membangunkan negeri serta memenuhi keperluan rakyat?” tegasnya.

Beliau pada masa yang sama turut membidas pentadbiran Negeri Sabah hari ini  yang kini memimpin namun gagal menyambung dan melaksanakan projek-projek besar yang telah dirancang serta diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan terdahulu.

“Contoh paling jelas ialah pengumuman Menteri Kewangan baru-baru ini tentang isu minyak dan gas kononnya dikembangkan pada 2002. Sebenarnya, semua itu adalah kesinambungan daripada usaha kerajaan Barisan Nasional yang bermula sejak 2014 dengan penubuhan dana sebanyak RM54 bilion,” katanya.

Tambah Suhaimi, banyak projek Persekutuan yang sepatutnya dilaksanakan di Sabah selepas 2018 tidak berjalan seperti dirancang.

“Banyak projek kerajaan pusat gagal dilaksanakan oleh kerajaan negeri selepas 2018. Salah satu yang paling jelas adalah projek Pan Borneo yang dilancarkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan bahawa kegagalan tersebut adalah manifestasi kepada ketidakstabilan politik dan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri sedia ada.

“Rakyat kini boleh menilai sendiri. Apa yang berlaku hari ini bukan sekadar kelewatan pelaksanaan, tetapi kegagalan mentadbir negeri dengan dasar yang konsisten dan berpaksikan pembangunan sebenar,” ujar Suhaimi.

Beliau menyeru agar rakyat Sabah membuka mata dan menilai secara rasional rekod prestasi antara kerajaan dahulu dan sekarang, khususnya dalam aspek pembangunan, kebajikan, serta ekonomi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79