Sembunyi Kes Buli Adalah Satu Kesalahan Jenayah – Dr Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa adalah satu kesalahan jenayah jika mana-mana pihak pengurusan Institusi Pendidikan MARA (IPMA) cuba menyembunyikan kes buli atas alasan menjaga reputasi atau nama baik institusi.
Menurut beliau, tindakan tegas dan keras akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak pengurusan yang terlibat dalam usaha melindungi pelaku atau menyembunyikan insiden sedemikian.
“Waktu awal saya diberikan amanah sebagai Pengerusi MARA, banyak aduan saya terima daripada ibu bapa dan pelajar tentang kecenderungan pihak institusi tidak mahu menghebahkan kes-kes buli kononnya untuk menjaga imej. Saya sudah berikan arahan yang jelas bahawa jika saya sendiri mendapat maklumat, tindakan tegas akan diambil terhadap pengurusan termasuk di MRSM,” katanya.
Dr Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, beliau sentiasa mengambil berat soal kebajikan guru, pelajar dan staf, namun dalam isu buli beliau tidak akan berkompromi.
“Prinsip saya jelas, You Touch You Go. Tidak kira siapa pun yang terlibat dengan kes buli, tindakan akan diambil. Jangan harap boleh merayu kepada saya, hatta anak orang berpengaruh sekalipun,” tegasnya.
Katanya lagi, usaha memutuskan rantaian budaya buli yang seolah-olah dijadikan tradisi di sesetengah institusi hanya akan berjaya sekiranya tindakan tegas diambil dengan sokongan padu semua pihak. – UMNO Online