Puteri UMNO Tegur MUDA: “Jangan Lebih Sudu Dari Kuah”
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Ketua Penerangan Puteri UMNO Malaysia, Shamellya Norazizi menegur tindakan parti MUDA dan melihat mereka seolah-olah ‘double standard’ berhubung pendirian mereka sebagai kuasa pendesak.
Bagi beliau jika itu yang dipegang oleh parti berkenaan mereka seharusnya bersikap adil dan tidak bersikap memilih parti.
“Saya sangat menghormati fungsi MUDA sebagai kuasa pendesak di Malaysia tetapi janganlah sampai melangkaui sebarang keputusan yang telah diputuskan oleh mahkamah.
“Kalau prinsip ini yang dipegang oleh MUDA, mengapa tidak tindakan yang sama dilakukan kepada kes Syed Saddiq?
“Bukankah kuasa pendesak seharusnya bersifat adil dan tidak memilih parti sama ada lawan atau kawan. Dan sepatutnya kuasa pendesak itu lah yang perlu menjadi fungsi semak dan imbang terhadap semua yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.
Memetik laporan, MUDA melancarkan kempen menuntut Jabatan Peguam Negara (AGC) membuka semula kes-kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Pemangku presiden parti itu, Amira Aisya Abdul Aziz berkata kempen itu penting kerana rakyat berhak tahu kebenaran.
Shamellya seterusnya menegaskan keputusan mahkamah sedia ada harus dihormati dan bukannya mengambil sikap sedemikian rupa.
“Sebagaimana kami dalam UMNO (tiada lagi mana mana ahli akar umbi UMNO yang gigih bawa sepanduk untuk buka kes Syed Saddiq) serta menghormati keputusan mahkamah terhadap kes bekas Presiden MUDA, yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, sebegitu juga kami berharap ahli-ahli parti MUDA menghormati keputusan mahkamah sedia ada.
“Lebih baik ukur baju di badan sendiri sebelum menjadi lebih sudu dari kuah,” tambahnya. – UMNO Online