Puteri UMNO Johor Sambut Baik Penubuhan Jawatankuasa Khas Anti Buli
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Pergerakan Puteri UMNO Negeri Johor menyambut baik usaha Kerajaan Negeri yang menubuhkan Jawatankuasa Khas Anti Buli Negeri, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Segamat, Fatin Nadia Ahmad Kamil.
Jelasnya, penubuhan jawatankuasa tersebut membuktikan kesungguhan kerajaan negeri untuk memastikan sekolah di Johor terus menjadi persekitaran pembelajaran yang selamat, harmoni, dan kondusif.
“Pergerakan Puteri UMNO Negeri Johor menyambut baik langkah Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Khas Antibuli Negeri, menjadikan Johor sebagai negeri pertama di Malaysia yang mengambil inisiatif menyeluruh dalam menangani isu buli di sekolah.
“Penubuhan jawatankuasa yang melibatkan pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan, ibu bapa, agensi keselamatan dan badan bukan kerajaan (NGO) membuktikan kesungguhan kerajaan negeri untuk memastikan sekolah di Johor terus menjadi persekitaran pembelajaran yang selamat, harmoni serta kondusif.
“Puteri UMNO Johor menyokong penuh usaha holistik yang dilaksanakan melalui kerjasama antara sekolah, komuniti dan pihak berkuasa. Pendekatan ini diyakini mampu menangani isu buli secara lebih berkesan dari akar umbi,” katanya
Fatin Nadia yang juga Biro Pendidikan Pergerakan Puteri UMNO Johor berkata, Puteri UMNO Johor menyarankan agar kempen kesedaran mengenai buli diteruskan di pelbagai peringkat.
“Kami mengalu-alukan penubuhan mekanisme pemantauan dan saluran aduan yang lebih mudah dicapai, untuk menggalakkan mangsa tampil membuat laporan tanpa rasa takut atau terasing.
“Puteri UMNO Johor menyarankan agar kempen kesedaran diteruskan di peringkat sekolah rendah sehingga menengah, termasuk sokongan kaunseling untuk membantu pemulihan emosi dan membentuk budaya empati dalam kalangan pelajar.
“Kami berpandangan bahawa pelaku buli perlu dikenakan tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada. Langkah ini penting untuk memberi pengajaran dan mesej jelas bahawa perbuatan buli tidak akan ditoleransi,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa penubuhan jawatankuasa tersebut adalah langkah berani dan progresif demi memastikan ‘Buli Bukan Budaya Johor’. serta akan terus memberikan sokongan.
“Puteri UMNO Johor percaya pendidikan nilai hormat, integriti dan belas ihsan wajar diterapkan secara konsisten sebagai modul jangka panjang untuk melahirkan generasi pelajar berakhlak mulia.
“Sebagai sayap wanita muda UMNO yang prihatin terhadap isu kebajikan generasi muda, Puteri UMNO Johor bersedia berganding bahu dengan kerajaan negeri dalam menjayakan kempen dan program kesedaran anti-buli. Kami akan turut menggerakkan aktivis Puteri di seluruh Negeri Johor untuk terlibat dalam aktiviti pendidikan komuniti, bengkel kesedaran dan sokongan psikososial kepada pelajar.
“Puteri UMNO Johor percaya penubuhan Jawatankuasa Khas Antibuli ini adalah langkah berani dan progresif demi memastikan ‘Buli Bukan Budaya Johor’. Kami beriltizam untuk terus menyokong usaha ini agar Johor menjadi negeri contoh yang meletakkan kesejahteraan pelajar sebagai keutamaan yang paling utama,” katanya lagi.
Pada Isnin media melaporkan Kerajaan Johor menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi membendung isu buli dalam kalangan pelajar sekolah.
Jawatankuasa itu melibatkan kerjasama empat Pengerusi Jawatankuasa meliputi portfolio Pendidikan, Kesihatan, Kebajikan Masyarakat serta Hal Ehwal Agama Islam.
EXCO Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, jawatankuasa berkenaan akan menyusun langkah dan pendekatan khusus bagi menangani masalah itu di peringkat negeri. – UMNO Online