Putatan Sedia Hadapi PRN, Jentera Diperkukuh Demi Kemenangan

PUTATAN, 19 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed, menegaskan bahawa kesiapsiagaan jentera parti perlu berada pada tahap terbaik bagi memastikan kejayaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal menjelang.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lok Kawi, iaitu fokus diberikan untuk memperkemas strategi, menyelaras gerak kerja serta memperkukuh semangat pasukan di setiap peringkat.

Menurut beliau, pertemuan ini amat penting kerana ia menjadi medan penyelarasan hala tuju, selain memastikan setiap strategi yang dirangka dapat dilaksanakan dengan tersusun dan berkesan.
“Insya-Allah, dengan kerangka tindakan yang diperbaharui serta semangat juang yang tinggi, kita yakin mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kita sandang dan membuahkan kejayaan dalam PRN-17 akan datang,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyampaikan taklimat bersama jentera PDM Muhibbah/Contoh yang turut dihadiri Ketua Wanita UMNO Bahagian, Ketua Pemuda Bahagian, serta pasukan nukleus dari Negeri Sembilan.

Jeffery Nor menzahirkan penghargaan kepada semua ketua PDM dan pasukan jentera yang sentiasa setia mendukung perjuangan parti serta menegaskan bahawa komitmen dan kesungguhan jentera menjadi nadi kekuatan UMNO di Putatan.

Dalam pada itu, beliau tidak melupakan tanggungjawab sosial terhadap rakyat apabila seusai pertemuan bersama jentera, Jeffery berkunjung ke Kampung Petagas menziarahi dua keluarga yang baru kehilangan insan tersayang.

Beliau menzahirkan doa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan keluarga yang ditinggalkan terus tabah menghadapi ujian.

Turut diziarahi ialah seorang penduduk di Kampung Contoh yang rumahnya rosak akibat ribut baru-baru ini lantas beliau bersama pasukan UMNO Bahagian Putatan menghulurkan sumbangan sebagai tanda sokongan dan untuk meringankan sedikit beban keluarga berkenaan.

“Kita mungkin tidak mampu menyelesaikan semua kesusahan yang mereka tanggung, namun sekurang-kurangnya bantuan kecil ini mampu memberi sedikit kelegaan serta semangat untuk mereka terus tabah dan bangkit menghadapi dugaan,” katanya.

Jeffery menegaskan bahawa keutamaan UMNO bukan sahaja mempertahankan kekuatan politik, tetapi juga mendampingi rakyat serta bersama mereka dalam setiap keadaan.

“Dengan izin Allah, bersama-sama kita akan pertahankan Putatan dan memastikan kemenangan UMNO serta Barisan Nasional dalam PRN-17,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79