Pemuda UMNO Terus Agenda Perjuangan, Pertahan Jalur Gemilang
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Damansara, Zulkarnain Nadzri, percaya sayap Pemuda memainkan peranan penting bagi meneruskan agenda perjuangan membela agama, bangsa dan negara.
Katanya, ia dapat dilihat menerusi langkah berani dilakukan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dalam mempertahankan isu bendera Jalur Gemilang.
“Bersama-sama barisan Pemuda UMNO Bahagian Damansara menegaskan pendirian untuk terus berdiri teguh di belakang Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh dalam apa jua keadaan sekalipun.
“Kami menzahirkan sokongan penuh terhadap Dr Akmal yang konsisten memperjuangkan suara anak muda serta mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara. Kami sentiasa menjadi benteng dan pendukung setia kepada Dr Akmal,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau dalam pada itu menyifatkan Dr Akmal sebagai simbol keberanian dan wakil suara anak muda UMNO yang tidak gentar bersuara demi kepentingan rakyat dan parti.
“Justeru, kesetiaan terhadap Dr Akmal menjadi bukti bahawa perjuangan UMNO akan terus hidup dan segar, meskipun dilanda pelbagai cabaran politik semasa.
“Cubaan pihak-pihak tertentu untuk melemahkan kepimpinan Dr Akmal adalah sia-sia kerana sokongan akar umbi Pemuda UMNO di seluruh negara semakin utuh.
“Dr Akmal bukan sahaja pemimpin Pemuda UMNO Malaysia, tetapi beliau juga pembela suara generasi muda Melayu dan Islam yang cintakan tanah air. Oleh itu, Pemuda UMNO Damansara akan terus memberi sokongan padu tanpa goyah,” ujar beliau.
Terdahulu, Dr Akmal sebelum menggesa kerajaan untuk menggubal akta undang-undang agar ada hukuman lebih berat dikenakan terhadap mana-mana individu yang cuba mempermainkan Jalur Gemilang.
Kenyataan itu diberikan beliau selepas beberapa isu membabitkan pemasangan bendera terbalik dipercayai dilakukan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab, sekaligus mencetus polemik dalam kalangan rakyat Malaysia. – UMNO Online