KPT Mantapkan TVET, Digitalisasi Dan Pembelajaran Sepanjang Hayat
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memainkan penting dalam menentukan hala tuju strategik negara termasuk melihat semula kerangka menerusi sistem pendidikan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata usaha tersebut merangkumi pembinaan insan, latihan teknikal dan vokasional (TVET) selain memperkukuhkan digitalisasi.
“Ini melibatkan pembinaan insan, melihat semula kurikulum pendidikan dan latihan seperti TVET serta lain-lain dalam konteks digitalisasi, pengantaraan antarabangsa Universiti, pembangunan dan pendidikan impak tinggi termasuk juga pembelajaran sepanjang hayat.
“Ini juga merasionalisasi peranan Institut Pengajian Tinggi (IPT), meningkatkan keberhasilan pendidikan dan memantapkan kompetensi warga pendidik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menjelaskan langkah menerusi pendekatan padu ini tertakluk kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengabaikan dasar yang sedia ada.
“Kerajaan sedar perlunya ada pendekatan padu supaya dasar pendidikan negara kekal relevan dan dinamik selaras dengan agenda pembangunan sosio ekonomi negara.
“Ini juga mengambil kira keperluan tenaga kerja masa hadapan serta memastikan akses yang adil dan inklusif bagi semua lapisan masyarakat tanpa mengabaikan dasar yang sedia ada,” katanya.
Tambah Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) lagi, Majlis Pendidikan Negara (MPN) akan memainkan peranan penting sebagai jawatankuasa tertinggi nasional dalam menyelaraskan dasar pendidikan negara.
“Di bawah hala tuju baharu Malaysia 2025 – 2035, MPN akan berperanan sebagai jawatankuasa tertinggi di peringkat nasional dan di pengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyelaras dasar pendidikan negara secara menyeluruh.
“Ia merentasi pelbagai peringkat untuk pendidikan awal (kanak-kanak), pendidikan tinggi dan sepanjang hayat. Ia melibatkan dua kementerian utama iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi,” ujarnya lagi. – UMNO Online