‘Khidmat Bakti Tanpa Kenal Warna Parti, Apatah Lagi Kaum Dan Agama’

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin memaklumkan khidmat baktinya untuk rakyat di kawasan tidak mengenal warna parti.

Katanya ini kerana, sebaik sahaja dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan tugasnya adalah menyantuni masyarakat dengan memberikan politik bakti sebaiknya.

“Khidmat tidak memilih warna, maksudnya bila rakyat datang sahaja untuk minta bantuan dan sebagainya saya tidak tanya daripada parti mana, sebab bagi saya apabila kita dipilih kena layan semua.

“Apatah lagi kaum, agama… kena layan sama rata, sama adil dan kita buat ini semata-mata kerana Allah,” katanya kepada UMNO Onlina.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan berkata selain turun padang, penelitian terhadap setiap aduan disampaikan rakyat juga antara keutamaan beliau.

Mohd Asna berkata beliau percaya setiap respon yang diberikan pihaknya akan dinilai oleh rakyat dan sekaligus memberikan impak kepada kepercayaan terhadap dirinya.

“Saya sentiasa mengambil inisiatif turun padang, setiap satu aduan diteliti dan selesaikan dengan baik, saya juga menyeru pegawai-pegawai saya dan pegawai kerajaan yang ada untuk tidak mengambil endah walau satu aduan

“Jika kita abaikan aduan… mereka ini mempunyai keluarga, kadang-kadang daripada seorang boleh jadi 10, kerana mereka membawa cerita. Sama ada cerita baik ataupun sebaliknya, orang tua-tua kata kalau dia tidak memuji tidak mengata pun tidak mengapa… saya ambil pendekatan itu.

“Kerana jika ditolak sementah-mentahnya apa sahaja aduan daripada rakyat bukan sahaja mereka tidak memuji malah dia akan kata yb itu tidak boleh pakai, tak buat kerja.

“Jadi daripada seorang ke 10, kemudian 10 ke 100 memang bahaya. Jadi pendekatan tidak memuji tidak apa tapi jangan mengata… saya pegang sehingga ke hari ini,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79