Kerjasama Bersama Waytha Moorthy: Pas Korban Prinsip Asal Demi Kuasa
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Pas dilihat sanggup mengorbankan prinsip perjuangan asal demi kuasa apabila membentuk kerjasama dengan Waytha Moorthy, kata Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh, Abdullah Zaki Fadzil.
Ujarnya, ia juga dilihat tidak berseiringan dengan tindakan mereka selama ini yang sering melaungkan perjuangan Islam, Melayu dan tanah air.
“Keputusan Pas untuk berada sehaluan dengan Waytha Moorthy menimbulkan tanda tanya besar dalam kalangan rakyat. Pas selama ini sering melaungkan perjuangan Islam, Melayu dan tanah air.
“Namun, apabila mereka bersedia bekerjasama dengan Waytha Moorthy, seorang tokoh yang pernah memburukkan nama Malaysia di luar negara dengan menuduh kerajaan melakukan diskriminasi kaum dan mencetuskan sentimen perpecahan… dengan jelas memperlihatkan percanggahan prinsip Pas yang sangat ketara.
“Dari sudut politik, tindakan ini boleh dilihat sebagai langkah terdesak Pas untuk menambah pengaruh dan mengaut undi daripada pelbagai kelompok tanpa mengira latar belakang serta sejarah kontroversi seseorang individu. Dengan kata lain, Pas sanggup mengorbankan prinsip perjuangan asal semata-mata demi kuasa,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa kerjasama tersebut menggambarkan sifat sebenar Pas yang hipokrit dan mempergunakan agama sebagai alat untuk ‘memancing’ sokongan.
“Selain itu, kerjasama ini menggambarkan wajah sebenar Pas yang sering menuduh pihak lain tidak Islamik atau menyeleweng. Tetapi akhirnya mereka sendiri menghulurkan tangan kepada individu yang suatu ketika dahulu dilihat sebagai musuh kepada keharmonian negara.
“Hal ini menjadikan Pas kelihatan hipokrit, berpolitik tanpa garis panduan tetap dan hanya menggunakan agama sebagai alat untuk memancing sokongan.
“Pas memilih untuk bersama Waytha Moorthy bukan kerana keserasian perjuangan tetapi kerana kepentingan politik semata-mata. Prinsip diketepikan, maruah perjuangan diabaikan dan agama hanya tinggal retorik untuk mengaburi mata rakyat,” katanya lagi.
Pada Isnin media melaporkan Pas dan Parti Kemajuan Malaysia (MAP) yang diketuai P. Waytha Moorthy merupakan antara 12 pakatan pembangkang yang membentuk satu pakatan bagi memperjuangkan isu-isu negara didakwa gagal ditangani oleh kerajaan, termasuk tidak menunaikan janji reformasi.
Selain Pas dan MAP, pakatan itu terdiri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Gerakan, Pejuang, Muda, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Putra, Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).
Sebuah lagi organisasi yang terlibat ialah parti yang belum didaftarkan secara rasmi iaitu Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagaimanapun nama bagi gabungan longgar itu belum dimuktamadkan dan akan dimaklumkan dalam mesyuarat akan datang. – UMNO Online