Kerajaan Perpaduan Tumpu Pemantapan Ekonomi, Kesejahteraan Rakyat

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencapai beberapa ketetapan utama yang menyentuh pelbagai aspek pentadbiran negara.

Ketua Sekretariat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, antara yang diputuskan ialah kajian separuh penggal pencapaian Kerajaan Perpaduan yang sedang dilakukan di peringkat Jemaah Menteri akan dibentangkan kepada Majlis Perundingan Pimpinan.

“Langkah ini bagi memastikan segala perkara yang dipersetujui bersama dapat dinilai semula dengan mengambil kira pandangan dan perspektif berbeza parti-parti dalam gabungan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, mesyuarat turut bersetuju untuk menilai pencapaian kerajaan sepanjang tempoh ini selain mengambil perhatian terhadap semua teguran yang dikemukakan terhadap kerajaan.

Selain itu, katanya, mesyuarat juga memberi fokus kepada usaha-usaha pemantapan ekonomi negara serta pelaksanaan program untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menyentuh soal Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal berlangsung, Dr. Asyraf memaklumkan mesyuarat telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal bagi meneliti aspek kerjasama dalam kalangan parti-parti Kerajaan Perpaduan.

“Mesyuarat turut merakamkan ucapan tahniah kepada Malaysia dan Perdana Menteri atas kejayaan mewujudkan perjanjian perdamaian antara Thailand dan Kemboja,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79