Kerajaan Akan Kaji Keperluan Gubal Akta Anti-Buli – Azalina
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Kerajaan akan meneliti keperluan untuk menggubal Akta Anti-Buli yang memberi penekanan kepada penubuhan sebuah tribunal, bagi mendengar kes buli melibatkan pelajar dan kanak-kanak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata pada masa ini tiada definisi khusus atau hukuman yang jelas berkaitan kesalahan buli di bawah mana-mana peruntukan undang-undang
“Perkataan buli tidak dinyatakan secara khusus dalam Kanun Keseksaan, tetapi saya agak lega apabila kita telah meminda dan memperkenalkan Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan.
“Kita juga bernasib baik kerana telah meminda Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang membolehkan pelantikan Pesuruhjaya Kanak-kanak di Sabah dan Sarawak. Langkah ini sangat tepat pada masanya, tetapi secara adilnya kepada Kementerian Pendidikan, mereka juga sudah mempunyai garis panduan mereka sendiri,” katanya.
Azalina berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Forum Undang-Undang ASEAN 2025 bertemakan Memperkasakan Akses kepada Keadilan dalam Komuniti Ekonomi ASEAN: Merapatkan Kerjasama Perundangan demi Pertumbuhan Inklusif dalam Era Digital, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata Suhakam telah menyuarakan kebimbangan bahawa kedua-dua pihak, iaitu pelaku dan mangsa, adalah kanak-kanak, justeru Akta Kanak-Kanak 2001 masih terpakai kepada mereka.
“Ini perkara yang perlu dibincangkan oleh Jemaah Menteri, sama ada wajar diwujudkan satu proses lain apabila ia melibatkan kanak-kanak, seperti penubuhan sistem tribunal atau sama ada perlu dipertimbangkan undang-undang yang berbeza, untuk membolehkan pemulihan digunakan sebagai bentuk hukuman,” katanya.
Tahun ini, Malaysia memegang Kepengerusian ASEAN bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan, berteraskan keyakinan bahawa institusi yang kukuh, undang-undang yang mantap serta akses saksama kepada keadilan menjadi asas kepada perpaduan dan pertumbuhan inklusif.
“Forum ini merupakan antara inisiatif penting di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia, melambangkan komitmen baharu terhadap kerjasama perundangan serantau dan reformasi Institusi,” katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Datuk Zamri Misman, Setiausaha Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL) Anna Joubin-Bret serta wakil negara anggota ASEAN dan rakan dialog.
Forum tiga hari itu menghimpunkan 58 penceramah dan moderator dalam 15 sesi yang dikendalikan pakar, dengan lebih 300 peserta dari ASEAN dan luar rantau. Perbincangan merangkumi penyelesaian pertikaian alternatif, reformasi undang-undang komersial serta perniagaan dan hak asasi manusia. – BERNAMA