Kempen Dakwa Semula Zahid: MUDA Diseru Hormati Keputusan Mahkamah

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Parti MUDA diseru untuk menghormati keputusan mahkamah dan perundangan negara, kata Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Dr Mohammad Aswad Ithnain.

Ini kerana katanya, tindakan parti itu melancarkan kempen mendesak agar kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dibuka semula jelas tidak membantu mengukuhkan keyakinan rakyat kepada sistem keadilan negara.

“Saya mengambil maklum tindakan Parti MUDA yang melancarkan kempen mendesak agar kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dibuka semula.

“Pertama sekali, saya menyeru agar MUDA menghormati keputusan mahkamah dan proses perundangan negara. Kita ambil contoh kes yang melibatkan Presiden MUDA sendiri, Syed Saddiq. Walaupun beliau didakwa dan disabitkan kesalahan, tiada pihak yang cuba mempolitikkan keputusan itu. Semua akur bahawa badan kehakiman kita adalah bebas dan berintegriti.

“Sikap memilih untuk mempersoal hanya kes tertentu, tetapi menutup mata apabila melibatkan pemimpin sendiri, jelas menunjukkan ‘double standard’ yang tidak membantu mengukuhkan keyakinan rakyat kepada sistem keadilan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa tiada siapa yang berada di atas undang-undang sama ada rakyat biasa mahupun pemimpin negara.

“Saya ingin menegaskan bahawa dalam negara ini, tiada siapa yang berada di atas undang-undang. Sama ada rakyat biasa mahupun pemimpin negara, semua tertakluk kepada proses perundangan yang telus.

“Lebih baik sekiranya MUDA menumpukan perhatian kepada isu-isu rakyat – kos sara hidup, peluang pekerjaan, masa depan anak muda… daripada terus mempolitikkan isu yang telah pun melalui saluran undang-undang. Anak muda memerlukan solusi, bukannya slogan jalanan.

“Sebagai anak muda, marilah kita sama-sama mengangkat politik yang matang, berhemah dan membina. Bukan politik provokasi yang hanya menambah kekeliruan rakyat,” katanya lagi.

Pada Isnin media melaporkan MUDA melancarkan kempen menuntut Jabatan Peguam Negara (AGC) membuka semula kes-kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pemangku presiden parti itu, Amira Aisya Abdul Aziz berkata kempen itu penting kerana rakyat berhak tahu kebenaran. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79