Ahmad Zahid Seru Rakyat Kibar Jalur Gemilang, Semat Cinta Pada Tanah Air

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak rakyat Malaysia untuk mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 tahun pada 31 Ogos ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata ini kerana sejak negara  mencapai kemerdekaan, Jalur Gemilang sentiasa berkibar megah menjadi lambang kedaulatan dan maruah negara.

“Setiap kali kita melihatnya berkibar, tersemat rasa bangga dan syukur kerana dapat hidup di tanah air yang merdeka, aman dan makmur,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook berkongsi perasmian dilakukannya pada Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Parlimen Malaysia Tahun 2025 di Lobi Utama Dewan Rakyat.

Turut hadir barisan Ahli Parlimen, pegawai serta para pelawat dan pelajar.

Mengulas lanjut kata beliau 68 tahun rakyat menikmati nikmat kemerdekaan, hidup dalam suasana aman, rukun dan damai sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Katanya keindahan ini perlu terus dipelihara, kerana keharmonian ini adalah kekuatan sebenar negara.

“Saya berdoa agar semangat kebangsaan ini tidak pernah luntur, bahkan semakin membara dalam jiwa anak muda hari ini.

“Kemerdekaan bukan sekadar sejarah yang tercatat, tetapi amanah besar untuk kita wariskan kepada generasi akan datang,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79