Ahmad Zahid Harap Pelajar Manfaatkan Executive Apprentice 2025

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Program Executive Apprentice 2025 menjadi platform penting untuk mencungkil bakat kepimpinan baharu dalam kalangan mahasiswa baik di dalam negara atau pelajar luar negara.

Menurut beliau, pendedahan awal menerusi latihan praktikal bersama kementerian serta tokoh pemimpin lain akan memberi pengalaman yang tidak dapat diperoleh di dalam bilik kuliah atau buku teks.

“Gunakan peluang yang singkat ini untuk mendapat pendedahan sebaik-baiknya, bukan sahaja di kementerian, malah juga dalam pelbagai lapangan lain. Inilah pengalaman yang tidak ada dalam bilik kuliah dan buku teks, hanya melalui UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Executive Apprentice 2025 di sini, hari ini.

Program yang dikelolakan menerusi Kelab UMNO Luar Negara (KULN) akan menempatkan 32 pelajar luar negara di pelbagai kementerian dan pimpinan UMNO lain sempena musim cuti masing-masing. Program berkenaan akan mengambil masa sebulan.

Turut serta pada majis berkenaan Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara, Datuk Mohamad Alamin; Menteri Luar Negeri yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan serta menteri dan timbalan menteri UMNO yang lain.

Ahmad Zahid  seterusnya berkata, UMNO melalui Kelab UMNO Luar Negara (KULN) mengambil inisiatif melaksanakan program ini sebagai kesinambungan usaha melatih pelajar tempatan dan luar negara untuk ditempatkan di pelbagai bidang strategik.

Katanya, para peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang akademik termasuk kejuruteraan, usuluddin dan sains sosial, bagi memastikan kepelbagaian pandangan serta bakat dapat dimanfaatkan dalam pembangunan negara.

“Kita mahu mencungkil pemimpin baharu dalam kalangan pimpinan pelajar untuk bersama dengan badan induk kita. Pendedahan ini mesti datang terlebih dahulu sebelum mereka melangkah ke peringkat lebih tinggi,” tambah beliau.

Program Executive Apprentice 2025 merupakan latihan amali dan eksekutif yang menawarkan peluang kerjaya serta pengalaman kepada pemimpin muda berbakat besar.

Peserta akan ditempatkan di kementerian-kementerian bagi memahami tadbir urus negara, dasar awam serta proses membuat keputusan di peringkat pentadbiran.

Timbalan Perdana Menteri turut menzahirkan harapan agar semua peserta memanfaatkan peluang tersebut sebaik mungkin sebagai bekalan pengalaman kepimpinan untuk masa hadapan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79