Titah Adendum Sah, Perlu Dilaksanakan Segera
SAYA menyokong kenyataan Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden UMNO semalam bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan dengan jelas menunjukkan Titah Adendum terhadap Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak bagi menjalani baki hukuman penjara di rumah itu wujud dan sewajarnya tidak perlu lagi ke Mahkamah Tinggi, hanya perlu dilaksanakan segera.
Keputusan Mahkamah Persekutuan yang jelas mengesahkan kewujudan Titah Adendum berhubung perkara ini seharusnya menjadi noktah kepada segala perdebatan.
Titah ini tidak perlu dibawa lagi ke Mahkamah Tinggi untuk diputuskan, sebaliknya wajib terus dilaksanakan tanpa sebarang lengah.
Sebelum ini, ramai yang mempertikaikan sama ada titah tersebut benar-benar wujud. Namun, dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan Peguam Negara, tiada lagi alasan untuk menangguh pelaksanaannya.
Perlu diingat, Titah Adendum adalah perintah daripada Yang di-Pertuan Agong, bukan suatu dokumen biasa yang boleh dijadikan modal politik.
Jika perintah baginda sendiri memerlukan perbincangan dan penelitian yang panjang sebelum dilaksana, di manakah kedudukan institusi Raja-Raja Melayu, khususnya Yang di-Pertuan Agong, dalam sistem pemerintahan negara kita?
Kuasa prerogatif baginda yang termaktub di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan membolehkan baginda mengampun, menunda atau meringankan hukuman bagi kesalahan di Wilayah Persekutuan, termasuk membenarkan tahanan dalam bentuk dan lokasi yang lebih selesa.
Kita tidak seharusnya terikat secara berlebihan kepada undang-undang bertulis dan prosedur rumit yang dicipta manusia, sedangkan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai pemerintah dan tuan tanah di bumi Melayu telah diiktiraf sejak dahulu kala, bahkan oleh penjajah sekalipun.
Isu ini bukan soal Dato’ Sri Najib semata-mata, tetapi soal penghormatan terhadap titah Yang di-Pertuan Agong dan pengiktirafan kedudukan Raja-Raja Melayu dalam sistem pemerintahan negara.
Apabila titah ini dibawa ke mahkamah untuk diputuskan, ia membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk mempertikaikannya, sekaligus menjejaskan kemuliaan institusi Raja.
Jika benar kewujudan titah ini telah diputuskan, maka laksanakanlah segera. Pelaksanaannya tidak memprejudiskan keadilan terhadap sesiapa, malah rakyat sudah letih melihat isu ini berlarutan setiap hari.
Demi menjaga martabat institusi Raja dan mengelakkan perpecahan, Titah Adendum ini sewajarnya terus dilaksanakan tanpa sebarang penangguhan.
Pertikaian yang berpanjangan akhirnya hanya membuang masa sehingga rakyat sudah bingung adakah ini pertikaian terhadap undang-undang atau sebenarnya semua orang mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong?
Che Muhammad Redzuan Jihad
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tumpat, Kelantan
Peguambela & Peguamcara.