Semarak Bulan Kemerdekaan: UMNO Labuan Perkukuh Perpaduan, Patriotisme Jadi Asas Kekuatan Negara

LABUAN, 18 Ogos – Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-68 yang bakal diraikan pada 31 Ogos ini semakin dirasai di seluruh negara, termasuk di Labuan apabila masyarakat pelbagai peringkat terus memperlihatkan semangat kebersamaan, kekitaan dan gotong-royong yang menjadi nadi kepada kekuatan bangsa dan negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, berkata roh kemerdekaan tidak hanya disambut dengan kibaran Jalur Gemilang, tetapi harus diterjemahkan melalui penghayatan nilai perpaduan, keharmonian dan sikap saling membantu dalam kalangan rakyat.

“Bulan Kemerdekaan bukan sekadar simbol sejarah, tetapi ia mengingatkan kita tentang pengorbanan generasi terdahulu yang berjuang menuntut kebebasan.
Tanggungjawab kita hari ini adalah meneruskan warisan itu dengan memperkukuhkan semangat muafakat, saling menghormati, mengutamakan perpaduan dan memelihara keamanan. Inilah kekuatan sebenar negara,” tegas beliau.

Terdahulu beliau menyemarakkan Program Santai Bersama Komuniti di Kampung Kerupang dan Kampung Negalang yang dianjurkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kerupang 1, 2 & 3.

Program itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti rakyat termasuk pertandingan memancing, memasak, pancing botol dan sukan santai yang melibatkan masyarakat setempat dari pelbagai lapisan usia termasuk anak muda yang membuktikan bahawa semangat kesukarelawanan dan tidak pernah pudar.

“Apabila kita melihat masyarakat kampung berganding bahu tanpa mengira latar belakang, itulah manifestasi sebenar kemerdekaan. Semangat yang terpamer hari ini adalah cerminan nilai gotong-royong yang sejak dahulu menjadi asas kekuatan bangsa kita. Inilah yang membezakan kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian,” ujarnya.

Dalam program berasingan, Mohd Rafi bersama rombongan Pergerakan Wanita UMNO Labuan turun padang menyantuni empat keluarga bakal pengantin di Kampung Tanjung Aru Nelayan, Kampung Pohon Batu serta Kampung Sungai Bangat dengan menyampaikan sumbangan berupa beras kahwin.

Ujarnya, langkah itu bukan sahaja meringankan persiapan keluarga penerima, malah melambangkan nilai kasih sayang, prihatin dan keakraban masyarakat setempat.

“Dalam budaya kita, perkahwinan bukan hanya menyatukan dua insan, tetapi juga mengeratkan hubungan silaturahim antara keluarga dan masyarakat. Dengan adanya sumbangan sebegini, kita bukan sekadar membantu, tetapi memperkukuhkan nilai kebersamaan yang menjadi asas perpaduan bangsa,” tambah beliau.

Mohd Rafi turut merakamkan penghargaan kepada Pergerakan Wanita UMNO Labuan dan Sekretariat Kebajikan UMNO Labuan yang sentiasa komited melaksanakan pelbagai inisiatif peduli rakyat.

“UMNO Labuan akan terus menggerakkan program kebajikan, komuniti dan kemasyarakatan kerana inilah semangat sebenar perjuangan kita iaitu mendampingi rakyat, memahami denyut nadi mereka dan memastikan tiada siapa yang terpinggir. Dengan semangat inilah kita mengisi 68 tahun kemerdekaan negara,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa sambutan Bulan Kemerdekaan ke-68 ini harus dijadikan medan menyemarakkan kembali semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, agar mereka terus menghargai keamanan dan kemakmuran yang dikecapi hari ini.

“Jalur Gemilang yang dikibarkan di setiap rumah bukan sekadar kain berwarna, tetapi simbol kedaulatan dan kebebasan. Marilah kita bersama-sama memastikan roh kemerdekaan terus subur, kerana kekuatan negara tidak hanya terletak pada pembangunan fizikal, tetapi pada kekuatan rakyat yang bersatu,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79