Semarak Jiwa Merdeka 3.0: Pengerang Jadi Lambang Perpaduan & Patriotisme – Azalina
PENGERANG, 18 Ogos – Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi merangkap Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said hadir bersama ribuan warga setempat dalam Karnival Semarak Jiwa Merdeka 3.0 Parlimen Pengerang 2025 yang berlangsung penuh meriah di Dewan Bayu Damai, semalam.
Dengan bertemakan Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, acara tersebut menjadi medan penyatuan masyarakat pelbagai kaum di Pengerang dalam suasana penuh kebersamaan dan semangat kemerdekaan.
Menurut Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, sambutan tahun ini memberi penekanan kepada peranan guru, pelajar dan komuniti yang dianggap sebagai tulang belakang pembangunan negara dan masa depan generasi mendatang.
Antara inisiatif utama yang diumumkan beliau termasuklah:
• 1,000 guru menerima baucar Decathlon bernilai RM25 sebagai tanda penghargaan atas dedikasi mendidik anak bangsa.
• 113 pelajar calon SPM 2024 menerima sumbangan RM300 seorang sebagai galakan dan sokongan moral menjelang peperiksaan.
• 50 Jalur Gemilang diagihkan ke 33 kawasan komuniti sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotisme menjelang Hari Kebangsaan.
• 7,400 murid sekolah menerima set kelengkapan termasuk beg dan botol air.
• Pelbagai pertandingan sukan, seni dan budaya dianjurkan, melibatkan penglibatan aktif masyarakat setempat.
Lebih membanggakan, katanya, karnival kali ini turut diraikan dengan pengumuman bahawa Pengerang dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan Bola Tampar Negeri Johor 2025 yang menghimpunkan 42 pasukan dari seluruh negeri.
Azalina menegaskan, kejayaan penganjuran karnival serta pemilihan Pengerang sebagai tuan rumah kejohanan bola tampar negeri adalah bukti kekuatan perpaduan masyarakat tempatan yang sentiasa bersatu hati, cintakan budaya sihat dan menjunjung semangat patriotisme.
“Inilah lambang #PengerangJagaPengerang iaitu sebuah masyarakat yang bersatu hati, berbudaya sihat serta mengukuhkan jati diri sebagai rakyat Malaysia yang patriotik,” katanya lagi. – UMNO Online