Program Semarak Kasih Santai Sukan Kukuhkan Silaturahim Antara Pemimpin Dan Rakyat Beaufort
BEAUFORT, 18 Ogos – Suasana penuh ceria dan harmoni mewarnai Program Semarak Kasih Santai Sukan Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kota Klias semalam.
Ketua UMNO Bahagian Beaufort merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) di sini, Datuk Awang Aslee Lakat, berkata program seperti ini bukan sahaja mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat, malah turut menjadi medan yang baik untuk membina semangat perpaduan serta memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
“Alhamdulillah, saya berkesempatan bersama-sama masyarakat dalam program ini. Semarak Kasih Santai Sukan bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi ia melambangkan kebersamaan kita, memperkukuhkan ukhuwah serta menghidupkan semangat kekeluargaan dalam komuniti di Beaufort,” katanya.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching, dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat yang hadir bagi memeriahkan acara berkenaan.
Awang Aslee turut menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi Pelaksana PDM Kota Klias, Siti Norisah Zanzam, bersama seluruh Jawatankuasa PDM Kota Klias yang telah bekerja keras bagi menjayakan penganjuran acara itu.
“Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat khususnya para peserta yang telah mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti sukan yang dianjurkan. Usaha sebegini amat baik kerana ia bukan sahaja menyemarakkan kasih sayang sesama masyarakat, bahkan mengukuhkan lagi kebersamaan antara pemimpin dengan rakyat.”
Ujarnya, program seumpama ini dijangka akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengukuhkan lagi hubungan erat antara pemimpin dan masyarakat di akar umbi, sekali gus memperkukuhkan peranan UMNO dan BN di Beaufort sebagai wadah perjuangan rakyat.
Program yang berlangsung sepanjang hari itu diserikan dengan pelbagai acara sukan santai yang mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat, antaranya pertandingan bola jaring, bola sepak, sukaneka rakyat, dan cabutan bertuah.
Turut hadir memeriahkan program ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Jaludin Kadir; Ketua Wanita UMNO Bahagian, Juriffah Safflie; Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Ak Mohd Yazri Ak Mohd Yahaya; Ketua Puteri UMNO Bahagian, Munira Sarrie; Setiausaha Bahagian, Abd Rahman Mohd Taib; Pengerusi Veteran UMNO Bahagian, Osin Jilon; serta barisan Jawatankuasa UMNO Bahagian Beaufort di sini. – UMNO Online