PRN Sabah: Puteri UMNO Teliti, Persiap Jentera Muda Parti
KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Pergerakan Puteri UMNO telah meneliti persiapan jentera sayap tersebut sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, sayap tersebut turut menggariskan pelan pengukuhan peranan Puteri UMNO di setiap bahagian terutamanya untuk mendekati pengundi-pengundi muda.
“Puteri UMNO Malaysia telah meneliti persiapan jentera di Sabah dan menggariskan pelan pengukuhan peranan Puteri di setiap bahagian untuk memastikan kehadiran yang signifikan di lapangan, khususnya dalam mendekati pengundi muda wanita.
“Puteri UMNO Malaysia menegaskan komitmen untuk terus mendekati anak muda melalui program-program strategik yang memfokuskan kepada pemerkasaan wanita muda, pengukuhan kepimpinan sehingga usia 40 tahun dan pembudayaan semangat patriotisme melalui pelbagai inisiatif.
“Program ini menjadi medium penting dalam menyampaikan naratif perjuangan, nilai kenegaraan dan hala tuju parti kepada generasi pelapis,” katanya pada satu sidang media.
Sementara itu beliau turut menzahirkan kesyukuran di atas keputusan ketiga-tiga Hakim Mahkamah Persekutuan berkaitan isu Titah Adendum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Puteri UMNO Malaysia bersyukur ke hadrat Allah dan menyambut baik keputusan sebulat suara ketiga-tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang mengarahkan semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum agar disegerakan pendengarannya di Mahkamah Tinggi.
“Keputusan ini memberikan kelegaan terhadap usaha-usaha mendapatkan keadilan buat Datuk Seri Najib dan Puteri UMNO akan terus beriltizam menggunakan semua saluran bagi mendapatkan pembelaan yang sewajarnya,” katanya lagi. – UMNO Online