Pindaan Kanun Keseksaan, Tatacara Jenayah Tangani Cabaran Jenayah Moden – Azalina

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan kerajaan telah melaksanakan beberapa pindaan penting terhadap Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah bagi menangani cabaran jenayah moden.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata antara usaha reformasi adalah pindaan kepada Kanun Keseksaan pada tahun 2023 untuk memperkenalkan peruntukan baharu menangani jenayah gangguan menghendap (stalking).

“Pindaan kepada Kanun Keseksaan pada tahun 2024 untuk menangani fenomena akaun keldai (mule account) dan untuk memperkenalkan peruntukan baharu untuk menangani jenayah buli.

“Penubuhan Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Jenayah pada tahun 2025 untuk mengkaji bagaimana undang-undang jenayah boleh lebih responsif terhadap bentuk jenayah dan cabaran baharu yang kompleks,” katanya.

Azalina berkata demikian ketika penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut kata beliau dalam aspek undang-undang komersial kerajaan sedang melaksanakan beberapa pembaharuan penting iaitu penggubalan RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025 yang baharu sahaja diluluskan di Dewan Rakyat.

Melalui ini kata beliau UNCITRAL Model Law telah diadaptasi mengikut kesesuaian negara dan usaha ini telah mendapat global recognition daripada pertubuhan antarabangsa seperti INSOL.

“Kedua, pindaan kepada Akta Jualan Barangan 1957 dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di mana pindaan ini akan melindungi pengguna, meningkatkan daya saing perniagaan, serta memudahkan urusan komersial di peringkat serantau dan antarabangsa

“Ketiga, penubuhan Jawatankuasa Semakan dan Pembaharuan Akta Kontrak 1950 awal tahun ini yang bertujuan memastikan undang-undang kontrak negara selari dengan piawaian antarabangsa dan mampu menangani cabaran moden.

“Keempat, penggubalan RUU Bidangkuasa Admiraliti dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan yang akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat maritim antarabangsa dan meningkatkan kepercayaan industri pelayaran serta memperkukuh ekonomi maritime,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79