Pemuda BN Sabah Fokus Politik Mandiri, Sokong Pendirian Bung Moktar
KOTA KINABALU, 18 Ogos – Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah menegaskan komitmen untuk memperjuangkan politik mandiri di negeri ini dengan menyokong penuh pendirian Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ketua Penerangan Pemuda BN Sabah, Effendy Salamon berkata, kenyataan Bung Moktar bahawa “sekarang kita lawan dulu” jelas mencerminkan tekad UMNO-BN untuk bertanding secara bermaruah tanpa bergantung kepada percaturan politik pihak lain.
“Sebarang bentuk kerjasama politik dengan mana-mana parti perlu diteliti secara mendalam. Keutamaan sekarang adalah memperkukuh jentera dan mempertahankan kerusi sedia ada sebelum membincangkan soal pakatan,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit.
Beliau menegaskan, kestabilan politik Sabah hanya boleh dicapai melalui mandat jelas daripada rakyat, bukannya melalui pakatan longgar yang tiada asas kepercayaan bersama.
Dalam masa sama, Pemuda BN Sabah menghargai keterbukaan Bung Moktar yang mengakui cabaran perpaduan politik, termasuk isu pertindihan kerusi antara parti.
“Ini adalah realiti politik yang mesti ditangani dengan kebijaksanaan, bukan retorik kosong. Pemuda BN Sabah akan terus bersama kepimpinan UMNO Sabah dalam mempertahankan prinsip perjuangan, memperjuangkan suara rakyat, dan memastikan PRN berlangsung secara bersih serta adil,” ujarnya.
Effendy juga menegaskan bahawa Sabah adalah milik rakyatnya, manakala perjuangan politik BN adalah demi suara dan kepentingan mereka. – UMNO Online