MUDA Perlu Berhenti Jadikan Isu Undang-Undang Sebagai Politik Retorik – Md Israk
KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Md Israk Abdullah menyeru agar MUDA berhenti menjadikan isu undang-undang sebagai modal politik retorik.
Ini kerana katanya, keputusan untuk memberikan ‘discharge not amounting to acquittal’ (DNAA) terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dibuat oleh mahkamah setelah menilai hujah pihak pendakwaan dan pembelaan.
“Saya merujuk kepada kenyataan Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz yang mendesak Jabatan Peguam Negara (AGC) membuka semula kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Pertama sekali, saya ingin menegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara berdaulat dengan sistem perundangan yang lengkap dan dihormati. Keputusan untuk memberikan DNAA terhadap Timbalan Perdana Menteri dibuat oleh mahkamah setelah menilai hujah pihak pendakwaan dan pembelaan. Ia adalah satu proses sah berlandaskan undang-undang, dan tidak wajar diputar belit demi kepentingan politik sempit.
“Adalah penting difahami bahawa DNAA bukan keputusan politik, tetapi keputusan undang-undang yang boleh disemak semula jika pihak berkuasa mendapati ada keperluan. MUDA tidak sepatutnya cuba menggantikan peranan mahkamah dengan tekanan politik atau retorik yang boleh menimbulkan kekeliruan dan menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman negara,” katanya menerusi satu kenyataan.
Jelasnya, MUDA seharusnya mendidik anak muda dengan politik matang dan berfakta serta tidak ‘meracuni’ rakyat untuk meragui sistem kehakiman negara.
“Sebagai sebuah parti politik baharu, MUDA seharusnya mendidik anak muda dengan politik matang dan berfakta, bukannya menanam sentimen kebencian tanpa asas. Mengajak rakyat meragui sistem kehakiman adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap undang-undang negara.
“Saya juga ingin menasihatkan Amira Aisya secara peribadi. Sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), tugas utama beliau adalah berkhidmat kepada rakyat di kawasannya. Rakyat di kawasan perlu dilihat, didengar dan dibela. Janganlah terlalu sibuk mencari populariti nasional melalui retorik politik sehingga mengabaikan masalah dan keperluan sebenar pengundi sendiri.
“Turunlah padang, dekati rakyat dan bawakan penyelesaian kepada isu-isu tempatan yang menuntut perhatian. Itu lebih baik untuk rakyat dan lebih bermakna sebagai seorang wakil yang dipilih.
“Akhir kata, saya menyeru MUDA agar berhenti menjadikan isu undang-undang sebagai modal politik retorik. Hormatilah keputusan mahkamah, hormatilah proses perundangan, dan jangan sesekali cuba menggugat keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman negara. Politik matang menuntut kita mengangkat hujah dan fakta, bukan mencipta persepsi yang mengelirukan,” katanya lagi.
Pada Isnin media melaporkan MUDA melancarkan kempen menuntut AGC membuka semula kes-kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pemangku presiden parti itu, Amira Aisya Abdul Aziz berkata kempen itu penting kerana rakyat berhak tahu kebenaran. – UMNO Online