Kesetiaan, Kepatuhan Kepada Presiden Kunci Kebangkitan UMNO – Ahmad Jazlan

BESUT, 18 Ogos – Institusi Presiden amat penting malah Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah ketua kepada kumpulan parti ini yang meletakkan anggaota parti perlu mempunyai ketaatan, kepatuhan dan kesetiaan kepada kepimpinannya.

Demikian tegasnya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil alih kepimpinan dan menjaga parti ketika tidak ada apa-apa dan fikirkan semula siapa yang membawa parti ini sehingga seperti hari ini. Betapa sukar dan payahnya beliau memimpin parti ini.

“Beliau (Ahmad Zahid) ibarat berada di atas gunung yang tinggi, ahli parti hanya duduk di atas pokok. Jarak penglihatan ahli parti kemungkinan terbatas, tapi jarak penglihatan Presiden lebih jauh dan luas.

“Kita tidak pernah lihat dan nampak, yang ada pada kita hanya lihat pada sudut yang kecil, dan apabila tidak bersetuju, tidak bermusawarah, tak duduk dan bincang elok-elok serta mengambil tindakan yang melulu dan akhirnya akan merugikan parti,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut kata Ketua UMNO Bahagian Machang lagi, sejarah membuktikan bahawa tiada mana-mana kumpulan yang mampu mencapai kemenangan tanpa kesetiaan dan kepatuhan terhadap ketua.

“Maka… kepatuhan pada pemimpin amat penting. Sebagai contoh,dari zaman dulu hingga kini yang berjaya dimenangi oleh satu kumpulan tanpa patuh pada arahan ketua adalah tidak ada. Perang mana apabila bertanding menang tanpa patuh pada ketua? Begitu juga semangat bekerja berkumpulan.

“Apabila keluar dari saf, ini bererti kumpulan akan pecah, bererti pasukan kita akan kalah. Jadi, patuh pada Presiden dan pemimpin adalah satu perkara yang menjadi kewajipan pada kita, kalau mahu melihat pasukan kita berjaya,” katanya lagi.

Pada masa yang sama Ahmad Jazlan percaya sekiranya anak-anak muda taat dan patuh serta faham perjuangan Presiden parti maka ini sudah pasti membantu parti bangkit kembali.

“UMNO perlu membentuk pelapis baharu dikalangan anak-anak muda dan ia amat penting agar dapat meneruskan kebangkitan bersama dengan satu nafas baharu iaitu kebangkitan dengan kumpulan anak-anak muda.

“Golongan ini sedar betapa tidak ada parti lain yang sememangnya mempunyai ‘track record’ memimpin negara. Maka, ianya tidak akan menjadi sesuatu yang mustahil dan mesti digarapkan setiap antara mereka,” jelasnya lagi.

Tambah beliau, episod kepatuhan dalam UMNO pernah tercalar apabila terdapat segelintir pemimpin yang memilih untuk meninggalkan parti ketika UMNO tidak mempunyai kuasa, satu tindakan yang menurutnya tidak sepatutnya berlaku.

“Episod kepatuhan ini sedikit tercalar apabila beberapa pemimpin parti telah mengambil tindakan meninggalkan perjuangan UMNO ketika parti tidak mempunyai sebarang kuasa.

“Tindakan seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia memberi gambaran bahawa perjuangan mereka hanya bersandarkan kepada kuasa dan kedudukan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Ahmad Jazlan menzahirkan penghargaan kepada mereka yang kekal bersama UMNO, sambil menyifatkan sebagai pejuang sejati yang terus menanamkan semangat perjuangan kepada ahli baharu.

“Hari ini, mereka yang memilih untuk meninggalkan parti sudah tiada bersama kita. Yang kekal pula adalah mereka yang benar-benar setia, mempunyai kasih sayang terhadap perjuangan ini, serta terus menerapkan nilai-nilai murni kepada generasi pejuang yang baharu dalam UMNO,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79